LEBIH seabad lalu, majlis berbuka puasa secara beramai-ramai pasti diadakan sekali dalam bulan Ramadan, tetapi majlis seperti ini sukar ditemui di zaman ini. Keunikan serta kemeriahan berbuka puasa yang diamalkan di Kampung Padang Gelam, Kubang Pasu, Kedah ini benar-benar menjadi pengalaman paling indah yang mungkin tidak akan dilalui lagi. Penulis dijemput Nor Diana Yusoff, 29 seorang pembantu pegawai penerangan, Jabatan Penerangan Malaysia dan juga seorang peminat mStar Online untuk bersama sama merasai suasana berbuka puasa yang unik ini. Apa yang paling menarik adalah makanan dihidangkan diatas tar, rumput dan simen tanpa dialas tikar atau kain, malah penduduk atau sesiapa sahaja yang hadir untuk berbuka puasa di majlis ini tidak dibekalkan alas untuk duduk. Kebanyakan yang hadir akan duduk diatas tar dan tanah termasuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas kecuali yang membawa surat khabar lama untuk dijadikan alas duduk. Bukannya mereka tidak mampu untuk menyewa khemah ataupun kerusi meja tetapi majlis seperti ini dilakukan sejak dahulu lagi dan tradisi seperti itu diteruskan sehingga hari ini sebagai memperingati penduduk kampung Padang Gelam ini tidak lupa asal usul dan tetap akan bersama dalam apa juga keadaan. Seluruh penduduk kampung akan bergotong royong serta memberikan sumbangan untuk menjayakan majlis berbuka puasa ini. Kesepakatan masyarakat Kampung Padang Gelam ini memberikan makna yang cukup besar dan mendalam kepada penulis kerana untuk menjayakan majlis ini tidak perlu ada pemilihan ahli jawatankuasa penganjur mahupun pengerusi penganjur. Penduduk kampung bersepakat dalam menentukan siapa yang akan menjadi tukang masak nasi dan lauk pauk serta siapa yang ditugaskan untuk kuih muih atau pencuci mulut begitu juga dengan persiapan lain. Penduduk asal kampung ini yang telah berpindah ke tempat lain juga akan dimaklumkan tarikh untuk diadakan majlis berbuka puasa ini dan mereka yang telah berpindah jauh juga akan pulang untuk bersama sama memeriah serta mengeratkan silatulrahim yang sekian lama terjalin. Seorang penduduk kampung Azizah Bakar, 60 yang ditemubual oleh penulis mengatakan “Seingat makcik sejak kecil lagi majlis berbuka puasa ini telah diadakan dan majlis ini tetap akan diadakan setiap tahun” katanya dengan nada yang bersemangat. Zainol Ahmad, 52 salah seorang penduduk kampung Padang Gelam yang diberikan tanggungjawab penyediaan bahan basah dan kering bagi persiapan memasak. Menurut beliau, selain kutipan sumbangan dari orang kampung ada juga orang perseorangan yang memberikan sumbangan yang agak besar untuk menjayakan program ini. Malah, Jabatan Penerangan daerah Kubang Pasu juga turut sama mengambil bahagian dengan menghulurkann bantuan kepada warga emas dan penduduk dalam kalangan asnaf. Majlis berbuka puasa ini tidak ada jemputan kepada mana mana penduduk kampung kerana ianya dibuat secara terbuka dan sesiapa sahaja boleh dating dan berbuka bersama. Penulis juga berkesempatan bertemu dengan orang lama yang dihormati dikampung ini iaitu seorang Imam Saad Pin, 77 tahun yang mesra dengan panggilan Pak Jang. Menurut Pak Jang, majlis berbuka puasa secara muafakat ini adalah untuk mengeratkan silatulrahim antara penduduk kampung dan masyarakat setempat. “Dengan adanya majlis berbuka puasa seperti ini dan suasana berbuka puasa yang serba sederhana seperti mereka masih kanak kanak akan memberikan peringatan kepada semua bahawa kita ini bersaudara serta semangat persaudaraan itu harus dipertahankan”, ujar Pak Jang dengan nada perlahan tetapi tegas. Lebih 500 orang yang hadir dimajlis ini malah ada juga penduduk dari kampung berdekatan yang turut sama memeriahkan suasana berbuka puasa ini. Yang paling menarik, kebanyakan yang hadir akan membawa bekas air sendiri untuk meringankan tugas pihak yang menyajikan makanan dan minuman. Setelah berbuka puasa, semua yang hadir akan sama-sama membersihkan tempat mereka menjamu selera sebelum menunaikan solat Maghrib. Suasana ini memperlihatkan bagaimana kesepakatan penduduk dan masyarakat disini yang mengambil tanggungjawab dan memainkan peranan dari mula hingga ke akhir majlis berbuka puasa. Pelbagai persoalan bermain difikiran penulis walau seketika cuma berada di majlis berbuka puasa ini, terlintas di fikiran, apakah di kampung atau negeri lain mampu mengadakan majlis berbuka puasa hasil kesepakatan penduduk Kampung Padang Gelam ini.