ROTI tampal merupakan satu nama yang asing bagi Abang Fen...mungkin juga you all kerana sukar untuk dibayangkan bagaimana rupa bentuk dan rasa pada awalnya. Kemungkinan yang bermain di fikiran Abang Fen adalah roti bakar yang ditampal serta pelbagai andaian lagi. Bagi mengetahui kisah roti tampal tersebut, baru-baru ini Abang Fen menjelajah Kuala Kurau, Perak untuk mengetahui cerita roti tampal sedap yang kini heboh diperkatakan. Semua ini dilakukan Abang Fen demi berkongsi kisah makanan sedap dengan you all pembaca setia mStar Online. Ketika tiba di Pekan Kuala Kurau, Abang Fen bertanya kepada orang ramai di situ mengenai kedai roti tampal atau kedai Hassan Mamak. Rupa-rupanya roti tampal Hassan Mamak cukup terkenal di Pekan Kuala Kurau dan kumpulan anak muda yang ditemui membantu menunjukkan arah ke Kampung Tersusun Raja Bashah yang merupakan lokasi premis berkenaan. Apabila sampai ke destinasi yang dituju, Abang Fen terus saja mengambil tempat duduk dan memesan roti tampal dan kopi o ais. Ketika itu, apa yang bermain difikiran Abang Fen ternyata tidak benar kerana ianya bukanlah sebuah restoran tetapi hanya warung atau kedai kecil biasa sahaja. Kedai roti tampal ini dibina hanya di depan rumah dan jika dilihat pada gerainya mungkin tidak akan mampu menarik pelanggan kerana suasananya sahaja seperti warung kopi tempat warga emas bertemu rakan sambil bersembang. Dalam asyik mengelamun tentang suasana kedai ini, tiba-tiba seorang gadis menghantar minuman yang Abang Fen pesan bersama roti tampal sekali. Abang Fen tercengang seketika melihat roti tampal yang dihantar dan ianya memang unik kerana roti tampal ini adalah roti canai yang ditampal dengan sebiji telur ayam bersaiz besar dengan kuning telurnya hanya separuh masak. Abang Fen mula menyuapkan roti tampal yang dipesan kemulut selepas ia dicicah dengan kari daging serta kuah kacang dal. Fuuhh...terbaik. Kelazatannya cukup luar biasa dan jika roti tampal Hassan Mamak ini dijual di kawasan bandar atau tempat tumpuan, Abang Fen yakin ianya pasti menjadi sebutan dan kegilaan pelanggan. Belum pun habis roti tampal di depan mata, Abang Fen tanpa segan silu memesan sebiji lagi kerana perut memang dah lapar ditambah pula dengan keenakan rotinya. Setelah menjamah dua biji roti tampal, kini Abang Fen mencuba pula sepinggan nasi lemak dan rasanya memang sedap. Kini tiba masa untuk Abang Fen menemubual pemilik dan pembuat roti tampal ini iaitu Arshad Mohammad atau lebih senang dipanggil Hassan Mamak, 57 (gambar). Ketika itu Hassan Mamak sedang menebar roti canai bagi memenuhi kehendak pelanggan. Ada yang bungkus dan ada yang makan di situ, maka tidak hairanlah jika kedai yang dibina di depan rumah ini cukup terkenal di Pekan Kuala Kurau. Arshad memberitahu, perniagaan roti tampal dimulakan sejak tiga tahun lalu setelah anaknya meminta dia berhenti daripada bekerja sebagai pemandu lori atas faktor usia. "Selain roti canai dan roti tampal kedai ini juga ada menjual roti boom dan nasi lemak. Tapi nasi lemak selalunya akan habis awal kerana menjadi pilihan ramai. "Roti tampal ini saya sediakan sebagai kelainan untuk menarik minat pelanggan selain keenakan pada rasanya juga harus diutamakan," ujarnya. Jelas Arshad, warung tersebut dibuka pada pukul 4.30 petang sehingga 10.00 malam dan ditutup pada setiap Ahad dan Isnin. Sebelum pulang, Abang Fen turut meminta lima roti tampal untuk dikongsi bersama keluarga. Pada you all yang ingin tahu lebih terperinci atau pada mereka yang tinggal berdekatan dengan Kuala Kurau bolehlah mencuba keenakan roti tampal ini. Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Arshad ditalian 0125529100.