suria

Jamu Perut, Minda Di Kafe Temu @ Kerinchi

Kumpulan Kelembai dari Kulim, Kedah yang singgah di Kafe Temu dilayan Pengarah Urusan, Fakrul Fadzin (duduk, tiga dari kanan) dan Pengurus, Nini Marini Rafar (dua dari kanan)

MENARIK sekali jika sesuatu pertemuan itu berlangsung di Kafe Temu!

Suasana di Kafe Temu sentiasa menggamit kehadiran penggemar buku, seni dan tentunya menunya yang menarik.

Walaupun ruangnya tidak sebesar mana, namun saiz bukan jadi ukuran mutlak di situ kerana apa yang lebih penting adalah impak dan kepuasan yang dialami.

Di Kafe Temu, selain makanan enak sebagai pengisi perut, pasti mata tidak terlepas daripada hidangan lain yang disediakan untuk kepuasan minda.

Di situ ada pelbagai unsur seni menghiasi hampir keseluruhan premisnya.

Hiasan seni di dinding Kafe Temu sederhana dan tidak sarat.

Sentuhan seni itu memang nampak ringkas dan selamba, tetapi masih mampu mencetuskan inspirasi, atau paling tidak, melahirkan ketenangan.

Andai tetamu hanya ditemani secangkir kopi dan senaskhah bahan bacaan yang boleh diambil di rak tersedia, kekusutan kerja dan permasalahan kehidupan kota sekurang-kurangnya dapat dilupakan sejenak.

Penggemar bahan bacaan dan seni tentu sekali akan kembali bertandang ke Kafe Temu.

Terletak di Kerinchi, kafe yang tampil dengan konsep "Buku, Seni, Kopi" bagai membawa pelanggan lari seketika daripada hiruk-pikuk kota dan jalan raya.

Suasananya tak ubah seperti ruang santap di rumah. Dindingnya dihias ceria dengan gambar dan lukisan, namun tidak sarat.

Rak buku dengan pelbagai genre, selain majalah berusia lebih 20 tahun lalu juga ada di Kafe Temu.

SENI DAN TEMU

Selari dengan konsepnya yang santai menu yang ditampilkan juga sederhana, namun rasanya tidak menghampakan.

Teh lemon dengan aroma yang mengancam.

Antara yang digemari termasuklah laksa Pulau Pinang, set bawal goreng bersama nasi putih, mi segera goreng dan soto. Harganya pula amat berpatutan, bermula dari serendah RM5 hingga RM10.

Menu utama di Kafe Temu - laksa, soto, nasi dan bawal goreng serta ayam goreng.

Mi segera istimewa yang menyelerakan.

Penggemar laksa Pulau Pinang yang asli boleh saja berkunjung ke Kafe Temu untuk menjamu selera.

Kafe Temu tidak sekadar menawarkan makanan dan elemen seni, malah pengendalinya terbuka untuk memberi peluang kepada tetamu berkarya.

Siapa sahaja yang datang ke sini, mereka boleh mempamerkan bakat dengan melukis atau melakarkan sesuatu untuk diabadikan sebagai tanda pertemuan dan ikatan yang telah terjalin di situ.

Pelanggan juga berpeluang mencatat mesej khusus untuk Kafe Temu.

Jangan bimbang tentang berus, warna atau pen untuk 'menandakan' sesuatu, kerana sememangnya ia sudah tersedia untuk pengunjung, dan ia percuma.

Tokoh akademik, penulis dan pensyarah, Dr Maszlee Malik yang sekian lama tidak melukis turut menghadiahkan potretnya kepada Kafe Temu.

Antara yang pernah makan dan meninggalkan karya mereka di sini termasuklah penulis dan pelakon, Pyanhabib dan kumpulan pemuzik anak muda dari utara tanahair yang berbakat besar, Kelembai.

Vokalis kumpulan Kelembai ketika ditemui berkata, konsep seni dan santai yang ditampilkan di kafe ini menjadikannya unik berbanding kafe lain yang pernah dikunjunginya.

"Saya hampir-hampir terlupa bahawa saya sedang berada di sebuah kafe. Ia benar-benar seperti sebuah rumah, kecil, tidak sesak tapi memberi 1001 makna.

"Saya bebas di sini. Saya tenang, saya boleh bangun pilih buku di rak, boleh menikmati kopi atau teh atau kalau tidak makan, saya boleh menikmati lukisan dan elemen seni lain yang ada di sekelilingnya. Itu sudah cukup mendamaikan," katanya.

Kumpulan Kelembai yang sempoi menikmati hidangan tengah hari ketika singgah di Kafe Temu.

Sementara itu, pemain bass Kelembai pula memuji keenakan masakan di sini, terutama set bawal goreng.

"Saya sukakan kuah gulainya yang pekat. Ikannya juga garing. Pendek kata, memang ada rasa utara," katanya.



Kafe Temu, Kerinchi, Kelembai

Artikel Sebelum

Artikel Lain