KEDATANGAN Ramadan menjadi tanda bermulanya ibadah puasa selama sebulan disusuli dengan sambutan Aidilfitri yang ditentunya dinanti-nantikan seluruh umat Islam. Memeriahkan semangat Ramadan kali ini, Vivatel Hotel Kuala Lumpur menyediakan hidangan eksklusif yang dimasak khas oleh chef khusus untuk hidangan bufet. Lebih 90 hidangan termasuk hidangan istimewa seperti ayam kelio, asam pedas ikan tenggiri, kari kambing tumis darat, serta bermacam-macam lauk yang tentunya menambat selera pengunjung. Selain daripada itu, hidangan- hidangan seperti ikan bakar, kuey tiaw goreng Penang, serta sate yang dimasak secara langsung akan turut disediakan. Menu ikan patin masak tempoyak yang sentiasa menjadi tumpuan ramai sekali lagi dihidangkan kepada pelanggan Retro Cafe Vivatel Hotel. Eksekutif Sous Chef, Saiful Helmi Idris berkata, ikan patin segar dari Pahang digunakan bagi hidangan tersebut. "Hanya ikan patin yang dibela dengan cara betul digunakan untuk menu ini kerana kami mahu memastikan ia tidak berbau hanyir kerana ikan tersebut diberi makanan berkualiti jika dibandingkan dengan ikan patin biasa," katanya. Bagi menyediakan hidangan ini, Saiful teliti dalam penggunaan rempah dan tempoyak untuk menjaga resepi warisan Pahang ini dan kelainan yang dibuat bagi juadah ini adalah dengan mencapurkan petai ke dalam masakan tersebut. "Saya membuat uji kaji terhadap resepi ini dengan menggunakan beberapa bahan untuk memastikan keenakan masakan tersebut dan saya telah memilih untuk menggunakan petai bagi menambahkan lagi keenakan masakan itu," katanya lagi. Selain masak tempoyak, asam pedas ikan patin juga menjadi hidangan istimewa bagi Ramadan tahun ini. Bagi menyediakan hidangan ini, ikan patin tersebut dimasak bersama-sama rempah ratus asli yang dikisar halus, manakala belacan yang digunakan di dalam masakan tersebut ditumis dahulu bersama bunga kantan untuk mendapatkan bau wangi. Hidangan lain yang menarik perhatian adalah udang harimau sambal petai di mana keistimewaan menu ini terletak pada kesegaran udang serta rasanya yang enak. "Udang harimau ini kami dapat dari Sungai Pahang dan ia dihantar ke sini dalam dua atau tiga hari, jadi kesegarannya terjamin. "Kami menggunakan rempah-rempah yang bermutu tinggi serta cili kering yang dikisar sendiri untuk mendapat rasa sambal yang diinginkan," kata Saiful. Hidangan lain yang menarik perhatian mStar Online adalah ayam kelio yang merupakan resepi turun temurun Baba Nyonya dengan menggunakan bumbu yang ditumis sehingga harum dan dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Penggunaan santan juga penting dalam menyediakan masakan ini untuk memastikan rasa lemaknya tidak keterlaluan. Saiful juga menjelaskan kebanyakan rempah ratus yang digunakan dalam masakan yang dihidangkan dihasilkan sendiri kerana mahu mementingkan kualiti masakan. Bagi juadah pencuci mulut pula, Saiful menyediakan beberapa hidangan istimewa seperti serawa durian, bubur kacang hijau durian, pengat pisang, dan beberapa kuih tradisional Melayu. Bagi menyediakan hidangan serawa durian dan juga bubur kacang hijau durian, Saiful menggunakan durian 'Musang King' yang berkualiti tinggi, lebih manis dan isinya tebal. Selain itu, kata Saiful, kebanyakan kuih-kuih tradisional yang dihidangkan disediakan sendiri, bukannya ditempah. Bufet Ramadan di Vivatel Hotel Kuala Lumpur boleh didapati bermula dari 22 Jun sehingga 15 Julai dengan harga RM78 bagi dewasa dan RM50 bagi kanak-kanak. Pelanggan yang membuat tempahan sebelum 21 Jun akan menerima harga istimewa iaitu RM68. Sempena Ramadan ini juga, Vivatel Hotel Kuala Lumpur turut menawarkan harga istimewa bagi tempahan bilik yang menyediakan hidangan sahur percuma untuk dua orang serta diskaun istimewa bagi bufet berbuka puasa.