suria

Resipi Warisan Chef Kampung Boy

SERENA Brasserie menampilkan bufet Ramadan yang penuh bergaya apabila lima chefnya yang mendapat jolokan "Kampung Boy" bergabung menghasilkan hidangan warisan kegemaran ramai.

Tidak ketinggalan lemang, serunding dan bubur lambuk ayam yang disediakan di restoran InterContinental Kuala Lumpur mengikut negeri kelahiran chef berkenaan.

Eksekutif Sous Chef, Abdul Razak Mohd Ali misalnya memilih resipi laksa Johor nenek beliau sendiri.

"Bagi saya, menghasilkan hidangan daripada resipi nenek sendiri sesuatu yang istimewa dan membuatkan saya terkenangkannya terutama kerana saya sendiri tidak gemarkan laksa Johor. Kini saya akan menikmati hidangan itu menggunakan resipi air tangannya.

"Menu ini menggunakan dua jenis ikan dan kuahnya mengambil masa sehingga dua jam setengah untuk dimasak dengan gabungan beberapa bahan lain untuk menambah rasanya," katanya.

Mengakui ia adalah resipi laksa Johor yang paling digemarinya, katanya, pihaknya mahu menampilkan menu istimewa untuk menawan hati pengunjung.

"Kami mahu menambat hati pengunjung dan memastikan mereka dapat menikmati hidangan yang istimewa di sini, tidak ditempat lain sepanjang bulan puasa ini," katanya.

Sementara itu, Chef de cuisine Serena Brasserie, Suhailmi Md Tasir pula terkenangkan waktu bresama keluarga dan jiran apabila menghasilkan Nasi Minyak Rendang Tok.

Menggunakan beras panjang untuk nasi minyak dan daging rendang yang sedikit pedas dan manis ditambah dengan keenakan kuahnya.

Seorang lagi ahli skuad Kampung Boy, Yusman Yahaya pula tampil dengan resipi bondanya, Udang Masak Lemak Cili Padi kerana hidangan itu paling digemari bapanya.

Asam Pedas Daging Tetel pula menjadi pilihan Chef Yusof Salamat yang menggunakan asam jawa dan bunga kantan sebagai bahan utamanya, selain cili dan bawang besar.

Hidangan lain termasuk Ketupat Sotong dan Gulai Telur Itik.

Tidak ketinggalan, Eksekutif Chef Pastri, Chang Eng Hua yang mengetengahkan resipi dari Melaka iaitu Appam Balik.

Bagi penggemar durian pula, adanya ruang khas untuk memberi peluang pengunjung menikmati Raja Buah itu.

Bufet Ramadan di hotel ini ditawarkan pada harga RM178 bagi dewasa dan RM98 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun sehingga 30 Jun. Mulai 1 Julai hingga 5 Julai pula, harganya adalah RM148 untuk dewasan dan RM78 bagi kanak-kanak.

Artikel Sebelum

Artikel Lain