suria

Nostalgia Ramadan Grand Lexis Gamit Memori Desa

Nordin menunjukkan juadah yang disajikan sepanjang ramadan ini.

PETALING JAYA: Tema Nostalgia Ramadan menjadi pilihan Hotel Grand Lexis Port Dickson khusus untuk bufet sepanjang Ramadan ini bagi membangkitkan suasana berbuka puasa ala kampung.

Menurut Eksekutif Chefnya, Chef Nordin Ahmad, menu tradisi yang disajikan adalah gabungan idea barisan chef hotel tersebut yang dipilih secara teliti bagi mengekalkan mutu juadah.

"Sebenarnya, masakan ala kampung sentiasa menjadi pilihan pada bulan Ramadan. Kadang-kadang bila kita menikmati makanan ini, teringat kisah berbuka ketika kecil dahulu.

"Sudah tentu kisah ini akan menjadi bualan bersama keluarga, terutama kepada anak-anak supaya mereka tahu setiap juadah tradisi ini ada kisah dan begitu bermakna kepada mereka yang lebih berusia," katanya.

Jelas Nordin, antara menu yang harus dicuba pengunjung adalah nangka ikan masin.

Nangka ikan masin.

"Rasa kelat nangka muda dan rasa masin dari ikan sememangnya sedap dimakan bersama nasi putih. Bagi memastikan isi nangka tidak menjadi terlalu lembik, suhu dan masa di atas dapur dijaga dengan baik," katanya.

Bagi penggemar gulai ayam cili padi, jangan ketinggalan mencubanya di sini.

Juadah itu dimasak secukupnya bagi memastikan santan dan rasa cili padi menyerap ke dalam isi ayam menghasilkan hidangan yang lazat, sekaligus membangkitkan aroma masakan tersebut.

Satu lagi juadah yang pastinya membangkitkan selera ramai adalah gulai perut rebung buluh betong.

Gulai perut rebung buluh betong.

Kebiasaannya hidangan itu mengeluarkan aroma yang kuat tetapi juadah ini sentiasa menjadi pilihan mereka yang gemarkan makanan tradisi.

Namun, Nordin berkata, pihaknya akan menggunakan bahan-bahan seperti serai, cili padi, kunyit dan santan untuk mengurangkan aroma kuat dari rebung itu.

Selain rebung, katanya, petai juga merupakan salah satu ulaman yang mengeluarkan bau yang kuat tetapi tetap menjadi pilihan untuk dimakan.

Bagi mengimbangkan bau petai ini, Nordin berkata, mereka menyediakan masak udang sambal petai untuk dinikmati pengunjung.

Juadah ini sememangnya terkenal dengan rasa pedas dan aroma yang cukup unik yang menjadi kegemaran sesetengah pengunjung.

Dalam pada itu, hotel ini turut menghidangkan pucuk manis lemak labu, ikan masak jeruk, ubi kayu rebus dinikmati bersama sambal bilis atau kelapa parut, lempeng kelapa dan pulut kukus ikan masin.

Lempeng kelapa dan sambal ikan bilis.

"Kepelbagaian juadah tradisi yang disediakan ini memberikan pengalaman lampau kepada mereka yang gemarkan makanan tradisi lama. Mudah bagi mereka untuk berkongsi pengalaman dan rasa kepada generasi muda sekiranya dinikmati bersama-sama," kata Nordin.

Tawaran istimewa ini bermula pada 1 hingga 23 Jun bertempat di Restoran Duyung dari pukul 6.30 petang hingga 9.45 malam dengan harga RM98 bagi dewasa dan RM49 bagi kanak-kanak.

Mereka yang berminat untuk menikmati juadah yang disediakan, boleh hubungi talian 06-6532000 sambungan 3350 untuk tempahan.

Hotel Grand Lexis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain