BAGI mereka yang mahu menikmati juadah Malaysia yang sedap dan berkualiti untuk berbuka puasa, mungkin Eastern and Oriental (E&O) Hotel Pulau Pinang adalah jawapannya. Bertempat di restoran Sarkies bermula pukul 7.30 sehingga 10.30 malam, bufet tersebut turut menawarkan juadah dari Jepun dan Itali. Tentunya setelah seharian berpuasa, anda mahukan juadah yang sedap dan membangkitkan selera. Bagi peminat ulam, mereka boleh menikmati pelbagai ulam-ulaman serba hijau, seleksi kerabu dan macam-macam lagi di Ulam Corner menerusi bufet berkenaan. Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi E&O Hotel, Eileen Ching berkata, mereka turut menyediakan pelbagai jenis sambal dan sos. Selain itu, antara hidangan yang wajib dicuba di sini ialah nasi briyani, ayam masak madu dan gulai ketam kampung. Juadah seperti daging masak merah, udang masak sambal petai, sotong masak hitam manis dan kambing kurma juga antara yang menjadi pilihan ramai di E&O Hotel. "Juadah ini semua dihasilkan oleh chef yang mewarisi resepi turun temurun dari generasi terdahulu," ujar Chong. Di bahagian luar misalnya ia menempatkan gerai yang menghidangkan kambing yang dipanggang perlahan dan hidangan istimewa lain seperti gulai kawah. Pengunjung juga patut mencuba satay, roti canai, murtabak, nasi lemak ayam, ikan bakar, apom, cucur udang dan pasembur. Sushi dan sashimi, pasta dan daging bakar juga ada disediakan untuk santapan pengunjung. Namun, hidangan signatur mereka seperti itik panggang, ayam percik dan daging sirloin Australia yang disalut lada hitam juga wajib anda cuba. Selepas kenyang menjamu selera, mungkin boleh akhiri dengan aneka pencuci mulut seperti kuih muih, bubur kacang hijau dan ais batu campur bersama ais krim dan pastri. "Dengan juadah ala kampung, hidangan ini sangat bersesuaian dengan pengunjung hotel khususnya yang datang dari luar negara. "Ini membolehkan mereka merasai sendiri budaya kita dan belajar mengenai berbuka puasa," tambah Chong lagi. Bufet berharga RM166 untuk orang dewasa dan RM83 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun. Hotel ini turut menawarkan Makan Malam Bufet Jom Raya dari pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang pada 15 dan 16 Jun, dengan harga RM108 untuk orang dewasa dan RM54 (Kanak-kanak). Untuk tempahan, hubungi 04-2222000 sambungan 3601/3602.