suria

Pensyarah Perubatan IPTS Perlu Perolehi Permit Mengajar - KPT

PETALING JAYA: Pensyarah perubatan di semua kolej dan universiti tempatan perlu memiliki permit mengajar yang disahkan oleh kementerian, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan Selasa.

Menurut kenyataan itu, KPT telahpun menyediakan satu peraturan yang standard untuk semua pensyarah perubatan tidak kira pensyarah tempatan mahupun luar negara.

“Peraturan dan syarat ini termasuklah dalam menubuhkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan program perubatan.

“Dan jawatankuasa yang menilai mana-mana IPTS yang ingin menawarkan program perubatan turut terdiri wakil dari Malaysian Qualifications Agency (MQA) wakil dari Majlis Perubatan Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

KPT mengeluarkan kenyataan itu bagi menjelaskan komen yang dibuat oleh seorang pembaca akhbar The Star yang meminta pihak berkuasa memantau kursus-kursus perubatan yang ditawarkan oleh IPTS.

Komen itu juga mempertikaikan kualiti pembelajaran kursus perubatan yang ditawarkan oleh IPTS.

Menurut KPT, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab mereka untuk memantau kualiti program di semua IPTS dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun KPT mengalu-alukan sebarang maklumat mengenai IPTS yang tidak mematuhi peraturan sebagaimana yang ditetapkan. Orang ramai boleh menghubungi talian 03-88835000.

Dalam pada itu, pihak kementerian juga kini dalam proses menyiapkan satu garispanduan standard yang akan mengkordinasikan semua jenis yuran yang akan dikenakan oleh IPTS kepada para pelajarnya dari yuran pendaftaran sehinggalah kepada yuran perpustakaan.

Bagaimana pun kata KPT, adalah menjadi tanggungjawab mana-mana pelajar agar menyemak terlebih dahulu syarat-syarat yang dikenakan oleh IPTS termasuklah terma yuran dan lain-lain caj sebelum membuat keputusan untuk menyambung pengajian di IPTS pilihan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain