suria

Biasiswa Untuk Warga Anggota Komanwel Di IPTS Tempatan

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, hasrat ramai pelajar tempatan untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mempunyai prestasi cemerlang adalah amat terbatas ekoran ia melibatkan kos yang sangat tinggi.

Namun kini ia tidak lagi menjadi isu berikutan inisiatif terbaru oleh sekumpulan pendidik sektor swasta, yang akan membolehkan calon dari pelbagai kursus kritikal layak menerima biasiswa.

Persatuan Komanwel Diraja (RCS) cawangan Malaysia pada 16 Mei lepas melancarkan Yayasan Biasiswa Persatuan Komanwel Diraja Malaysia (Yayasan Biasiswa RCS) bagi membolehkan pelajar dari semua negara Komanwel termasuk rakyat tempatan mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke IPTS tempatan.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Puteri Sultan Perak, Raja Datuk Seri Azureen binti Sultan Azlan Shah, yang juga Canselor Masterskill University College of Health Sciences (MUCH).

Idea asal diilhamkan oleh Pengerusi Kolej Antarabangsa Sains Kesihatan (ICHS), Daud Ahmad yang juga ahli aktif RCS Malaysia, yang diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan kebajikan untuk generasi akan datang.

Yayasan Biasiswa RCS, katanya, lebih kepada satu badan amanah yang bakal menyediakan peluang kepada anak negara Komanwel dengan latar belakang kurang berkemampuan, bagi menyerlahkan potensi mereka.

"Sejak ditubuhkan awal tahun ini, Yayasan Biasiswa RCS dapat mengumpulkan nilai biasiswa sekitar RM32 juta untuk ditawarkan kepada pelajar yang layak meneruskan pengajian tinggi di Malaysia," jelasnya semasa ditemui pada pelancaran yayasan berkenaan di ibu kota baru-baru ini.

Sebanyak 12 IPTS tempatan akan mengambil bahagian serta berikrar untuk menawarkan tempat kepada penerima biasiswa RCS Malaysia bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana selain Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang.

Ini termasuk ICHS dan MUCH sendiri, Allianze University College of Medical Sciences, Twintech University College, Nilai University College dan Kolej Teknologi YPC-iTWeb.

Lain-lain IPTS ialah The University of Nottingham, Olympia College, Windfield International College, International University College of Nursing, Limkokwing University of Creative Technology dan Stamford Raffles College.

Biasiswa itu meliputi kursus kritikal tertentu yang terdiri daripada bidang perubatan, pergigian, farmasi, kejururawatan dan kejuruteraan serta kursus seperti teknologi maklumat, hospitaliti, seni bina, seni lukis dan seni reka.

Daud menjelaskan bahawa yayasan itu ditubuhkan sebagai sumbangan kepada satu perkara dasar iaitu pendidikan adalah hak untuk dinikmati setiap manusia, boleh disesuaikan dalam setiap kehidupan, memenuhi keperluan individu serta kehendak masyarakat.

HUB PENDIDIKAN SERANTAU

Beliau yakin yayasan berkenaan mampu menyediakan bantuan kewangan kepada penuntut yang layak serta menempatkan mereka di IPTS terpilih sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

Yayasan Biasiswa RCS juga dipercayai bakal mempopularkan negara sebagai destinasi pilihan utama melanjutkan pengajian tinggi di kalangan pelajar negara Komanwel.

Daud berharap penerima biasiswa calon yang menamatkan pengajian akan menjadi contoh produk hasil pendidikan di Malaysia, dan akan dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa khususnya dari negara Komanwel untuk belajar di Malaysia.

Jelas Daud, yayasan akan mula memberikan biasiswa kepada warganegara anggota Komanwel yang layak bermula sesi pembelajaran universiti bagi tahun akademik September 2011/2012.

"Hanya pelajar yang memenuhi keperluan akademik kursus-kursus yang ditawarkan dan datang daripada latarbelakang yang memerlukan serta menunjukkan ciri-ciri serta penampilan seseorang yang berpotensi tinggi untuk masa hadapan layak dipertimbangkan untuk biasiswa itu," katanya.

PROSES PENYARINGAN KETAT

Jumlah biasiswa yang akan ditawarkan kepada seseorang pelajar pula bergantung kepada nilai kursus yang ditawarkan, namun semua pemegang biasiswa akan mendapat pembiayaan yuran tuisyen beserta sara hidup.

Bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima jumlah biasiswa yang besar itu, Daud menjelaskan bahawa setiap permohonan akan melalui proses penyaringan berperingkat yang ketat.

"Proses itu akan diuruskan oleh Jawatankuasa Teknikal Yayasan diketuai oleh Professor Emeritus Tunku Shamsul Bahrin, yang akan membuat cadangan kepada Lembaga Pemegang Amanah bagi memilih calon yang layak.

"Kami percaya kemajuan masyarakat hanya dapat dikecapi melalui pendidikan yang sempurna.

"Justeru, calon yang layak dipilih bukan sahaja daripada kalangan yang mempunyai keputusan akademik yang cemerlang, tetapi juga mempunyai ciri-ciri kewibawaan peribadi yang perlu ada dalam kalangan pemimpin masa hadapan untuk negara mereka," jelasnya lagi.

Menjelaskan tanggungjawab penerima biasiswa, Daud berkata, buat masa ini, mereka tidak terikat dengan sebarang kontrak dengan yayasan, RCS atau dengan IPTS yang mengambil bahagian, bagaimanapun, syarat itu mungkin akan diubah pada masa akan datang.

PERUNTUKAN BESAR UNTUK WARGA ASING

Mengenai kewarganegaraan biasiswa pula, Daud menjelaskan bahawa, meskipun biasiswa yang ditawarkan adalah sumbangan sepenuhnya IPT tempatan, namun ini tidak bermakna penerima biasiswa adalah pelajar tempatan.

"Yayasan akan memperuntukkan sebanyak 70 peratus daripada jumlah keseluruhan biasiswa kepada pelajar warga asing negara anggota Komanwel, manakala bakinya dibuka kepada pelajar tempatan," katanya.

Mungkin timbul persoalan kenapa biasiswa yang amat bernilai itu dihadiahkan kepada pelajar luar negara, malah hanya sekitar satu per empat tempat sahaja diagihkan kepada rakyat tempatan.

Tambahan pula mungkin ramai yang mengetahui bahawa banyak negara maju yang menyediakan dana biasiswa khusus kepada negara dunia ketiga termasuk semua negara jiran kita kecuali Malaysia dan Singapura adalah tidak layak.

Persoalan ini diuraikan oleh Presiden RCS, Baroness of Runnymede, Usha Kumari Prashar, yang yakin bahawa lebih ramai pelajar berbilang bangsa dari serata dunia akan membolehkan mereka didedahkan dan mempelajari budaya antara satu sama lain.

LUASKAN PERSPEKTIF WARGA KOMANWEL

"Mereka akan membina persahabatan dan seterusnya meluaskan perspektif yang akhirnya akan dibawa kembali ke negara masing-masing.

"Justeru, biasiswa ini akan diberi tanpa gentar atau pilih kasih berdasarkan bangsa, warna kulit atau agama, malah ia dianugerahkan kepada mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan yayasan," katanya.

Beliau percaya, memandangkan ekonomi dan populasi dunia adalah saling bergantungan, sebarang usaha yang dilakukan atas dasar saling percaya dan hormat menghormati untuk pertubuhan Komanwel akan terus memainkan peranan penting dan unik di mata dunia.

Jelasnya lagi, yayasan itu mendapat sokongan padu RCS London serta lebih 54 cawangan lain di seluruh dunia, dan beliau berharap agar lebih banyak negara Komanwel lain yang mengikuti jejak langkah yang diusahakan oleh RCS cawangan Malaysia.

KELAB SOSIAL ELIT

Menariknya, RCS sebenarnya adalah sebuah kelab sosial elit yang amat berprestij untuk warga terpilih, yang berfungsi untuk menyokong dan mengembangkan budaya dan prinsip-prinsip Komanwel moden.

Prinsip asas Komanwel moden yang ingin disematkan dalam jiwa setiap manusia itu termasuk toleransi, kepelbagaian, kebebasan, keadilan, demokrasi, hak asasi manusia dan pembangunan mapan.

Melalui pelbagai program pendidikan dan belia pula, RCS berusaha menggalakkan golongan muda untuk sentiasa meningkatkan prestasi diri dan memahami peranan mereka sebagai warga dunia bagi menghadapi cabaran antarabangsa.

Ibu pejabatnya yang dikenali sebagai The Commonwealth Club (The Club), London bertindak sebagai pusat untuk pertukaran maklumat, wadah perdebatan dan penyelidikan pelbagai isu antarabangsa.

Bersesuaian dengan peranannya sebagai pusat budaya, The Club turut bertindak meraikan dan mempamekan hasil seni artis ulung Komanwel. - BERNAMA

Artikel Lain