SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) untuk meningkatkan kerjasama berterusan dalam sektor pelancongan negara bagi manfaat kedua-dua pihak.Presiden Bumitra Malaysia Mohd Ayub Hassan berkata menerusi perjanjian itu, kakitangan serta anggota persatuan itu yang terdiri daripada ejen-ejen pelancongan, akan mengikuti beberapa siri kursus pengurusan pelancongan di Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan di UiTM.Beliau berkata kursus itu boleh memberi manfaat kepada peserta kursus terutama mereka yang berada di barisan hadapan dalam bidang pelancongan."Kursus bahasa Inggeris, Jepun, Mandarin serta Arab yang diajar melalui kursus pengurusan pelancongan ini juga dapat memudahkan mereka berinteraksi dengan pelancong dari negara berkenaan," katanya.Beliau ditemui pemberita selepas menandatangani MoA bagi pihak Bumitra Malaysia manakala UiTM pula diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar di Hotel UiTM di sini.Mohd Ayub berkata meskipun sebilangan anggota dan kakitangan Bumitra Malaysia mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang pelancongan, namun mereka perlu didedahkan mengenai asas dan kepentingan industri pelancongan di negara ini.Beliau berkata ini memandangkan bidang pelancongan banyak bergantung kepada sumber manusia yang menjadi aset terpenting dalam industri berkenaan.Melalui kursus itu, peserta akan mendapat pengetahuan asas mengenai agensi pelancongan, teknik jualan produk pelancongan serta mereka pakej pelancongan berskala sederhana dan mewah.Sementara itu, Dr Sahol Hamid berkata kerjasama itu menjadi landasan kepada UiTM untuk menerima maklum balas daripada peserta untuk memperbaiki sukatan kursus pengurusan pelancongan sedia ada."Peserta yang mengikuti kursus ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dalam bidang pelancongan dan oleh itu, mereka bolehlah memberi sedikit input kepada tenaga pengajar UiTM untuk memperbaiki lagi sukatan kursus di samping menimba ilmu pengetahuan daripada kami," katanya.Beliau berkata menerusi kursus itu, anggota serta kakitangan Bumitra Malaysia akan berpeluang mengetahui industri pelancongan secara lebih mendalam di samping menjadi seorang usahawan baik yang dapat membuat keputusan bijak. -BERNAMA