suria

Mahasiswa Baru UniMAP Dinasihat Sesuaikan Diri Dengan Kehidupan Di Kampus

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati mahasiswa baru Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) agar menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus kerana ia berbeza dengan alam persekolahan mereka sebelum ini.

Baginda bertitah di peringkat universiti, mahasiswa perlu bermula daripada sifar dan kaedah pembelajaran adalah tidak sama dengan apa yang mereka alami di sekolah.

Bertitah pada program taklimat waris sempena pendaftaran mahasiswa baru dan minggu suai kenal sidang akademik 2011/2012 UniMAP di kampus utama Pauh Putra dekat sini hari ini, baginda berharap mahasiswa baru berjuang di alam baru menara gading itu dengan penuh keyakinan untuk memburu kejayaan.

Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Canselor UniMAP, berharap ibu bapa sentiasa berhubung dengan anak masing-masing di universiti dan memberi dorongan agar mereka menjadi mahasiswa berpotensi.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Profesor Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata UniMAP kini mempunyai 22 program sarjana muda kejuruteraan, 16 program sarjana sains dan enam program diploma, selain menawarkan program doktor falsafah (PhD) di semua pusat pengajian kejuruteraan.

Turut berkenan berangkat ke majis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pro Canselor UniMAP. - BERNAMA

Artikel Lain