suria

UPSI Rangka Kurikulum Baru Pendidikan Khas

MELAKA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan merangka kurikulum baru yang menerapkan model perubatan dalam program pendidikan khas di negara ini.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata kurikulum tersebut akan merangkumi aspek terapi percakapan, optometris dan pemakanan.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar 10 pegawai ke luar negara bagi mengikuti pengajian dalam bidang tersebut sebelum pulang bagi memberi pandangan berhubung kurikulum itu.

"Kumpulan pertama pegawai ini yang terdiri daripada pakar terapi percakapan akan pulang pada Julai ini selepas pengajian kira-kira lima tahun di Australia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini, Khamis.

Persidangan yang disertai 148 peserta termasuk dari Australia, New Zealand, Hong Kong dan Indonesia itu bertujuan menyediakan platform bagi ahli akademik, penyelidik, pendidik, ibu bapa dan individu untuk berkongsi hasil penyelidikan dan produk berkaitan dengan pendidikan khas.

Zakaria berkata kurikulum tersebut dijangka dapat disiapkan pada tahun depan untuk dibentangkan kepada Kementerian Pelajaran.

Sementara itu, beliau berkata pegawai berkenaan juga akan melatih guru-guru pendidikan khas sedia ada dari segi aspek perubatan bagi memajukan lagi sistem pendidikan khas sekaligus menjamin kecemerlangan murid berkeperluan khas di negara ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain