suria

UUM Tawar Biasiswa Kepada 10 Mahasiswa Dari Mindanao

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan biasiswa kepada 10 pelajar Islam dari Mindanao, Filipina yang akan melanjutkan pengajian di universiti tersebut bermula semester ini.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pemberian biasiswa tersebut dibuat sebagai komitmen universiti berkenaan bagi membantu pelajar Islam dari wilayah tersebut melanjutkan pengajian mereka.

"Biasiswa ini diberikan kepada lima pelajar yang akan mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda dan lima lagi di peringkat sarjana di UUM.

"Untuk hari ini kita berikan kepada dua pelajar dahulu yang akan mengikuti pengajian Sarjana Kewangan Islam dan Perbankan di universiti ini manakala lapan lagi akan diberikan pada bulan September nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian biasiswa kepada dua pelajar Mindanao yang melanjutkan pengajian di universiti tersebut, di sini, Isnin.

"Seperti yang kita ketahui, sekarang ini mereka (Mindanao) sangat memerlukan sumber tenaga manusia yang berpendidikan tinggi dan terlatih bagi membolehkan proses pembangunan semula dilakukan di sana," katanya.

Mohamed Mustafa menambah, apa yang berlaku di selatan Filipina dan Sabah sekarang ini tidak akan menjejaskan pihak universiti untuk meneruskan pemberian biasiswa tersebut.

"Mereka (pelajar Mindanao) adalah kelompok lain. Kita nak bagi peluang kepada pelajar cemerlang di sana melanjutkan pelajaran di UUM dengan ditaja sepenuhnya oleh universiti," katanya.

Beliau berkata, biasiswa yang ditawarkan itu termasuklah pengecualian yuran pengajian dan yuran asrama serta RM800 sebulan sebagai wang sara hidup.

Katanya, pencerobohan pengganas Sulu dari selatan Filipina di Lahad Datu hanya melibatkan segelintir kelompok manusia dan ia tidak mewakili masyarakat Filipina yang cintakan keamanan dan mahu bersahabat dengan Malaysia.

"Jadi saya harap apa yang berlaku tidak memberi kesan kepada hubungan antara Malaysia dengan Filipina dan kita telah buktikan hari ini dengan pemberian biasiswa penuh kepada pelajar dari negara tersebut," katanya lagi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain