suria

Nostalgia Gula-Gula Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR: Penulis masih terkenang nostalgia sewaktu kecil berbekalkan duit syiling 20 sen berlari riang ke kedai runcit berdekatan rumah semata-mata untuk membeli gula-gula Jalur Gemilang.

Bendera plastik Jalur Gemilang dengan pemegang lutsinar berisi gula-gula pelbagai warna menjadi pilihan utama sebagai alat mainan kanak-kanak kira-kira 20 tahun lalu terutamanya tiba bulan Ogos, bulan kemerdekaan negara.

Nostalgia itu kembali menggamit penulis semasa berada di Pudu Sentral baru-baru ini apabila terlihat gula-gula Jalur Gemilang itu masih dijual seorang peniaga di situ.

Basariah Mat Aris, 48, berkata beliau menjual dua jenis gula-gula Jalur Gemilang, iaitu saiz kecil sepanjang kira-kira 25cm berharga 50 sen dan saiz besar kira-kira 45cm berharga RM1.

"Budak kecil suka gula-gula bendera ini tetapi sejak lima tahun lepas, jualannya semakin perlahan, seminggu saya dapat jual paling banyak lima sahaja," katanya ketika ditemui Bernama.

Basariah berkata kanak-kanak sekarang lebih cenderung memilih alat mainan mempunyai watak kartun kegemaran mereka, dan ini menjurus kepada situasi kurang baik kerana gula-gula Jalur Gemilang mampu memupuk semangat patriotik pada awal usia.

Seorang peniaga di terminal Melaka Sentral yang hanya ingin dikenali sebagai Uncle Siew, 56, berkata beliau memperolehi stok gula-gula Jalur Gemilang daripada syarikat milik rakannya di Johor Baharu, Johor.

"Kawan saya ambil bendera dari China, gula-gula ambil dari kilang di Johor Baharu. Dulu saya berani ambil stok empat dozen sebulan, sekarang satu atau dua dozen sahaja kerana jualan kurang," katanya.

Siew berkata beliau beberapa kali berhadapan dengan situasi pelanggan yang memujuk anak mereka membeli alat mainan lain sedangkan anak itu mahukan gula-gula tersebut.

"Dia sayangkan anak dia jadi mahu belikan mainan lagi bagus. Dia lupa gula-gula bendera itu boleh bagi anak dia lagi sayang Malaysia. Walaupun lagi murah, lagi 'low tech', ini mainan lagi bagus," katanya.

Pekerja bidang pengiklanan, S.Arunkumar, 29, berkata beliau masih teringat ketika berusia 12 tahun, kedai di sekitar ibu kota dipenuhi gula-gula Jalur Gemilang bila tiba bulan kemerdekaan.

"Budak-budak ramai cari, ramai orang jual. Lepas makan gula-gula, saya ikat bendera itu pada basikal. Seronok bawa basikal banyak bendera Jalur Gemilang masa itu, siap lawan dengan kawan siapa banyak bendera pada basikal," katanya.

Beliau kesal kerana situasi itu jarang kelihatan pada masa ini, dan paling menyedihkan kebanyakan rakyat di negara ini hanya mengharapkan Jalur Gemilang diberi percuma untuk digantung di rumah mereka.

Mohd Adli Aziz, 32, berkata beliau masih ingat kenangan berarak membawa gula-gula Jalur Gemilang bersama rakan di sekeliling kampungnya di Merlimau, Melaka.

"Masa itu ada jenis (gula-gula Jalur Gemilang) yang ada wisel jadi penutup dasar pemegang bendera. Kami dalam 10 orang berarak bawa bendera sambil makan gula-gula dan tiup wisel, lepas tiup dua tiga kali kami jerit Merdeka!," katanya yang bekerja sebagai mekanik.

Menurutnya, ada pihak yang tidak mahu mengibar Jalur Gemilang di rumah atau premis lain disebabkan perbezaan fahaman politik.

"Mereka perlu fikir secara rasional. Jalur Gemilang melambangkan negara Malaysia sendiri, bukan simbol parti politik. Jalur Gemilang melambangkan kita sendiri sebagai rakyat Malaysia dan kita perlu bangga dengan Jalur Gemilang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain