Pemandangan dari udara Holiday Inn Resort di Kandooma, Maldives.APABILA sebut sahaja Maldives, saya percaya bagi pengembara bajet, mereka mungkin merasakan pulau ini bukanlah sebuah destinasi pilihan untuk dikunjungi.Kebanyakan pengembara menganggap Maldives hanya sesuai bagi mereka yang gemarkan percutian mewah ataupun bertaraf lima bintang.Ini kerana Maldives itu sendiri dilihat sebagai sebuah destinasi percutian yang eksklusif dengan keadaan laut, pasir dan pantainya yang begitu luar biasa.Maka kos untuk menjejakkan kaki ke sebuah pulau di lautan India ini juga sering kali dianggap tinggi apatah lagi kedudukan bandar-bandarnya yang berselerak dengan 1,190 buah pulau.Tetapi persepsi itu salah sama sekali kerana Maldives menyediakan percutian untuk semua peringkat iaitu daripada percutian ‘ciput’ sehinggalah kepada mewah.Tempat-tempat penginapan yang disediakan serendah RM80 sehinggalah kepada RM2,000 bagi satu malam. Malah ada juga yang lebih daripada itu. Semuanya bergantung setakat mana kita mampu berbelanja untuk bercuti.Terdapat kira-kira 105 tempat penginapan yang menyediakan pelbagai kemudahan sama ada untuk percutian bersama teman, keluarga ataupun berbulan madu.Ia bukanlah satu halangan untuk kita memilih lokasi ini sebagai destinasi percutian terutamanya bagi mereka yang cintakan suasana pantai dan gemarkan aktiviti laut seperti menyelam skuba dan sebagainya.Identiti Maldives sebenarnya menarik. Ia sebuah negara kecil dengan populasi penduduknya dianggarkan berjumlah kira-kira 350,000 ribu orang. Agama rasminya adalah Islam dan tidak sukar mencari makanan halal.Menyedari pelancongan merupakan salah satu tarikan kepada negara ini, maka pemerintah terpaksa memperkenalkan dua undang-undang berbeza untuk rakyat dan juga pelancong.Bagi pelancong, mereka dibenarkan untuk meminum arak dan melakukan aktiviti-aktiviti sosial yang ditegah oleh agama Islam dan bagi penduduk pula mereka harus menghormati pelancong kerana ia adalah sumber pendapatan kepada negara.Namun begitu penduduk harus mematuhi undang-undang Islam yang diamalkan termasuklah bersedia dihukum sebat di khalayak sekiranya ada di antara mereka ditangkap atas kesalahan melakukan zina.Maldives menggunakan mata wang Rufiyaa (MRF). Setiap AS$1 dolar bersamaan MRF15.42. Bagaimanapun bagi memudahkan pelancong berbelanja, mata wang dolar Amerika Syarikat turut diterima untuk berurus niaga.Pada Oktober lalu saya berkesempatan mengunjungi pulau itu bersama AirAsia X yang baharu sahaja membuka destinasi penerbangannya pada 28 September lepas.Perjalanan selama kira-kira empat jam itu membangkitkan rasa teruja apabila pesawat bersedia untuk mendarat kerana air laut dan kecantikan pantai sudah dapat dilihat dari udara.Dari lapangan terbang, saya dan para rombongan dibawa ke sebuah pulau kecil iaitu Kandooma Fushi yang terletak sebelah Selatan ibu negara Maldives iaitu Male.Mengambil masa kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot laju ke destinasi berkenaan, kita akan dapat melihat pulau-pulau kecil yang kebanyakannya menempatkan rumah penginapan menarik dan berbeza antara satu sama lain.Destinasi percutian pilihan saya ialah di Holiday Inn Resort Kandooma, sebuah resort atas pulau kecil yang unik.Resort ini menyediakan 160 buah vila dengan empat gaya berbeza sama ada vila dengan suasana pantai dan taman, rumah atas pantai, penginapan keluarga atau vila atas air.Harga penginapannya di antara RM900 sehingga RM1,500 bagi satu malam. Ia mungkin mahal kerana resort ini bertaraf lima bintang. Tetapi jika anda mampu, mengapa tidak mencubanya.Kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menikmati kemudahan lima bintang, agensi pelancongan di Maldives turut memberi ruang kepada pengembara bajet untuk menikmati kemudahan di resort seperti itu.Ini kerana mereka menyediakan pakej menarik untuk pelancongan bajet. Contohnya jika anda menginap di hotel berharga RM80 semalam, anda boleh mengeluarkan sedikit belanja dalam jumlah tertentu untuk menikmati makan tengah hari di pulau A, makan malam di pulau B dan seterusnya melakukan aktiviti pantai di pulau C yang mana kesemua resort di pulau-pulau itu adalah lima bintang.Ia lebih menjimatkan kerana walaupun ada menginap di sebuah hotel bajet tetapi anda tetap memperoleh peluang merasai kenikmatan di tempat-tempat mewah.Langkah itu adalah salah satu usaha kerajaan Maldives untuk menggalakkan lebih ramai pelancong pelbagai peringkat menggunakan peluang sepenuhnya bercuti di pulau-pulau di negara berkenaan.Mungkin ada yang menganggap menghabiskan masa lima hari di sebuah pulau kecil yang hanya ada sebuah resort agak membosankan, tidak seperti Pulau Langkawi yang boleh dijadikan sebagai tempat beli-belah.Persepsi itu harus dibuang jauh kerana Maldives bukan destinasi seperti itu sebaliknya ia lebih memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar sukakan pantai dan laut.Sama seperti kebanyakan pulau lain, pelbagai aktiviti dapat dilakukan sepanjang berada di Maldives antaranya menyelam skuba, bersnorkel untuk melihat batu-batu karang, memancing di waktu malam, BBQ dan juga menikmati permainan pantai.Bagaimanapun tanpa aktiviti itu, percutian ke Maldives turut bermakna kerana air laut yang jernih berlatarkan langit membiru merupakan satu tarikan luar biasa yang mampu mempesonakan.Ditambah lagi dengan hembusan bayu laut bersama putih pasir pantai, benar-benar membawa satu pengalaman baharu kepada pengembara.Saya percaya, sekali anda berpeluang untuk menikmati percutian ke pulau eksklusif ini, sukar untuk anda padamkan betapa pulau ini benar-benar indah dan menakjubkan.Bagaimana hendak ke Maldives?Bermula 28 September 2013, AirAsia X memperkenalkan perjalanan terus dari Terminal Tambang Murah (LCCT), Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Ibrahim Nasir, Maldives.Ia mengambil masa kira-kira empat jam dengan jumlah penerbangan empat kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis, Jumaat dan Ahad.Pihak AirAsia X turut memperkenalkan kadar tambang promosi dari semasa ke semasa yang mana ia jauh lebih murah daripada kebanyakan syarikat penerbangan lain.Untuk mengetahui dengan lebih detil, anda boleh melayari www.airasia.com bagi mendapatkan maklumat promosi yang ditawarkan.