suria

Kenali Khazanah Rimba, Sumbar Khasiat Pahlawan Lampau

APABILA disebut saja rahsia khazanah rimba pasti ramai yang terfikir tentang suasana rimba dengan unggas, tumbuhan liar, binatang buas serta perkara lain yang menakutkan.

Tetapi kali ini penulis ingin membawa pembaca untuk mengetahui dan meminati pusaka alam ini yang semakin dilupai kerana pembangunan negara serta kemodenan kehidupan.

Sebenarnya khazanah rimba inilah yang menjadi pilihan utama masyarakat kita sejak dulu kala lagi, dan warisan ini semakin kita lupakan kecuali pengamal perubatan tradisional dan penduduk kampung di pedalaman.

Mungkin yang pembaca kenal adalah tongkat ali, ubi jaga, kacip fatimah, mahkota dewa sahaja kerana banyak produk minuman tenaga berasaskan tumbuhan tersebut laris dijual.

Itupun hanyalah pada nama dan tidak pada pokok, buah serta akarnya malahan penulis pasti ramai yang tidak tahu cara untuk mendapatkan bahan asli itu.

Di sini penulis ingin berkongsi bersama pembaca yang berminat ataupun ingin mencari bahan bahan asli ini yang semakin sukar ditemui.

Semua bahan asli ini termasuk akar tongkat ali, ubi jaga, kacip fatimah, tongkat pinang muda serta bahan bahan lain boleh didapati dengan mudah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak di kedua-dua arah.

Di situ pembaca akan menemui kiosk atau gerai kraftangan serta gerai buah-buahan, namun di sudut paling hujung, anda akan terlihat  susunan kayu serta akar yang menjadi ubat-ubatan tradisional dipamerkan.

Mereka yang menjadi penjual khazanah rimba atau khazanah alam ini terdiri daripada Orang Asli dan segala bahan berkenaan dijual selepas usaha keras di dalam hutan.

Penulis turut menemubual salah seorang pengusaha khazanah alam ini iaitu Khatijah Abdul Rahim, 28.

Wanita yang dilahirkan di Perkampungan Orang Asli Kampung Cermin, Kuala Kangsar ini meneruskan usaha ibunya di gerai Kraftangan Orang Asli.

Menurut Khatijah, tumbuhan-tumbuhan tersebut dicari oleh penduduk kampungnya walaupun terdapat di antaranya agak sukar ditemui ketika ini.

Antara tumbuhan yang sukar ditemui terdiri daripada cendawan susu harimau, rotan songsang dan buluh songsang. Berikuta itu juga ia mendapat permintaan tinggi dari pelanggan.

Ubat-ubatan tradisional yang dijual digerai tersebut adalah tulen dan laris terjual kerana kebanyakkannya menjadi penawar atau penambah tenaga batin.

Penulis juga diajar oleh Khatijah cara untuk mengetahui keaslian raja kayu iaitu kepingan raja kayu yang setebal setengah inci berdasarkan telus cahaya apabila diletakkan cahaya lampu dibawahnya selain diajar bagaimana untuk mengetahui keaslian kayu kemuning hitam.

Semakin ditanya semakin tersingkap rahsia khazanah alam ini yang semakin terhakis ditelan zaman dan terus diabaikan oleh generasi moden kini kerana terleka dengan pembangunan serta kemodenan dunia.

Namun dalam keadaan tertentu atau pun dalam keadaan terdesak, khazanah ini mula dicari namun rahsia khasiat serta kelebihannya tidak dipeduli malahan pohonnya juga tidak dikenali lagi.

Contohnya teras bertam, teras nibung tunggal, teras gemunggal, teras keluat, buluh tumpat, buluh songsang yang menjadi khasiat pahlawan lampau.

Bagi orang asli kayu tas jantan dan betina mempunyai khasiat besar iaitu mampu menundukkan binatang buas atau berbisa.

Di situ pembaca juga dapat menemui khazanah rimba yang sebelum ini tidak pernah kita dengar seperti akar gajah beranak, ubi sembelit, akar tebu gajah, akar rempah bukit dan lain lain lagi.

Jika hendak diceritakan segala keistimewaan alam itu, rasanya pembaca mungkin perlu mengambil masa lebih lama untuk menatap skrin masing-masing.

Bagi pembaca yang ingin mendapatkan khazanah rimba ini boleh terus ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak atau menghubungi  Khatijah ditalian 011 23428403.

Sungai Perak, Orang Asli

Artikel Berikut

Artikel Lain