suria

Semangat Malim Gunung Bawa Anak Malaysia Ke Fujiyama

HAMPIR lima jam terperangkap dalam hujan lebat dan angin kencang dengan kelajuan maksimum 60 km/j. Tambah memburukkan keadaan apabila jarak penglihatan hanya kurang 100 meter sepanjang pendakian di peringkat terakhir sebelum tiba ke puncak Gunung Fuji.

Mungkin situasi ini biasa dilalui ketika musim peralihan monson sekitar tanahair, namun cuba bayangkan jika insiden mendebarkan ini dihadapi ketika berada pada ketinggian bermula 3,360 meter dari aras laut hingga ke puncak gunung. 

Bagi kami kumpulan pendaki, apa yang mampu dilakukan hanya berdoa sepanjang perjalanan, malahan mengambil kesempatan menunaikan solat selain bertasbih agar hasrat menawan Fujiyama dimakbulkan. Yang pasti, persiapan mental dan fikizal itu penting jika anda berhasrat untuk menjejak Fuji.

Begitulah semangat kental empat anak Malaysia - Khirul Bahri Basaruddin, Siti Norbaiyah Nadzmi, Nazura Ngah dan saya, Norfatimah Ahmad tetap menanam hasrat untuk menawan ikon negara matahari terbit setinggi 3,776 meter itu dengan jarak pendakian enam kilometer melalui laluan Yoshida.

Yang pasti perasaan berdebar dan resah silih berganti, sama ketika menanti khabar gempa bumi yang melanda Sabah, Jun lalu hingga mengorbankan beberapa nyawa termasuk malim gunung yang mempertaruhkan nyawa membantu pendaki untuk menawan Gunung Kinabalu.

Ketika itu, kami berempat juga ditakdirkan terpaksa membatalkan hasrat untuk mendaki gunung tertinggi Asia itu kerana bencana itu. Jadi, projek seterusnya untuk menjejak Fuji diperkemaskan dan dirancang rapi bagi mengubat hati selepas berpenat lelah berlatih berbulan-bulan lamanya.

Laluan zig-zag yang menjadi penghalang halang dan tanah runtuh untuk keselamatan pendaki.

Kebetulan pula tarikh ke Jepun sempena sambutan bulan kemerdekaan negara dan semangat kami berkobar-kobar untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi tinggalan gunung berapi itu.

Pendakian dari Stesen Ke-Lima bermula dengan tenang sebelum kami 'dikejutkan' dengan hujan renyai-renyai yang seterusnya bertukar lebat diikuti angin kencang yang boleh mengakibatkan nyawa pendaki melayang. Keadaan yang dihadapi juga sekali gus bagaikan mempengaruhi kami, hinggakan tiada seorang pun yang sempat merakamkan cuaca buruk yang mencabar diri setiap pendaki.

Cuaca dan bentuk mukabumi antara cabaran yang dihadapi hinggakan pendakian fasa pertama memakan masa hampir tujuh jam untuk sampai ke stesen ke-8 iaitu di Hotel Fujisan pada ketinggian 3,360 meter dari aras laut. Di sini kami berehat sebelum meneruskan pendakian pada awal pagi keesokannya. Tetapi perancangan tidak menjadi apabila cuaca berterusan mencemburui kami.

Terowong yang dibina sebagai salah satu langkah mengelak tanah runtuh.

Memang betul ramalan cuaca yang menjangkakan hujan bakal melanda pada tarikh pendakian kami. Yang pasti ponco memang tak sesuai langsung untuk Fuji, malahan baju hujan yang dibeli juga terkoyak sebaik tiba di kaki gunung. Jadi bayangkan bagaimana 'garang' tiupan angin ketika itu ditambah dengan suhu yang mencecah antara 8 darjah celsius ke bawah itu.

Ada yang terpaksa memeluk bonggol batu gunung, memegang erat tali di tebing atau setidak-tidaknyaa memacak kuat tongkat pendakian untuk mengimbangi diri. Sebabkan situasi itu juga, kami bagaikan terganggu fikiran terutama kerana memikirkan antara berjaya atau gagal sampai ke puncak. 

Seperti dinyatakan tadi, kami hanya mampu berehat, solat dan berdoa untuk kebaikan semua.

Menyingkap perjalanan di awal pagi 25 Ogos 2015 itu, sebenarnya kami dinasihatkan supaya berpatah balik kerana khabarnya taufan bakal melanda sekitar ikon negara kelahiran Ultraman itu.

"Cuaca buruk. Difahamkan taufan semakin hampir, jadi lebih baik berpatah balik untuk jamin keselamatan," kata Taro, salah seorang pekerja di 'hotel' penginapan sementara itu.

Dua rakan sependakian, pasangan Siti Nurbaiyah dan Khirul Bahri bersemangat sepanjang misi menawan Fujiyama.

Sebenarnya, memang ada di kalangan puluhan pendaki yang mahu berpatah balik ke kaki gunung, tetapi ikhlas dari hati kami berempat - berbekalkan semangat malim Gunung Kinabalu, empat anak Malaysia ini tanpa memikirkan dugaan dan bahaya yang bakal mendatang, tenaga dan keringat dikerah semata-mata untuk menawan puncak Fuji.

Tambah membanggakan ia berlaku beberapa hari sebelum sambutan kemerdekaan negara yang ke-58. Kami bagaikan sinonim dengan tema "Sehati Sejiwa" apabila sama-sama menanam hasrat untuk tidak menghiraukan apa juga cabaran mendatang sepanjang pendakian berbaki 1.2 kilometer dan menetapkan matlamat untuk menuju puncak, walaupun hasrat awal untuk menyaksikan terbitnya matahari tidak tercapai kerana cuaca tidak mengizinkan.

Pada jam 7 pagi, iaitu lima jam daripada jadual asal, kami berempat meneruskan pendakian dan syukur tiba di puncak Fujiyama dalam keadaan kesejukan hampir tiga jam kemudian. Syukur semuanya selamat. 

Sejam kemudian pendakian menuruni Gunung Fuji dilakukan kerana pendaki tidak dibenarkan mengelilingi kawah di puncak gunung itu kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Kami reda kerana setidak-tidaknya empat anak Malaysia ini ditakdirkan sampai ke puncak seperti yang dihajati tanpa sebarang kecederaan, tetapi tetap cekal untuk meneruskan perjalanan turun yang tetap mencabar walaupun ketika itu cuaca semakin baik.

Penulis bersama rakan sependakian, Nazura Ngah merakamkan gambar memori ketika melalui cabaran di Gunung Fuji.

Lambang semangat anak merdeka yang kental tidak pernah luntur dan dugaan diharungi dengan matlamat untuk berjaya, setidak-tidaknya memenuhi kepuasan diri. Yang pasti, pengalaman berharga tiba di puncak Fujiyama sama sekali tidak akan lenyap dari fikiran. Walaupun tangan dan muka membeku, tetapi anak Malaysia ini terus tampil berani di mana jua berada.

Pengalaman ini sama sekali tidak melunturkan rasa kecintaan kepada aktiviti lasak, malahan ia mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa terutama apabila dapat menyaksikan suasana bercampur antara pemandangan mengasyikkan, nyaman, kehijauan alam semulajadi, juga tika berdepan cuaca buruk serta kemungkinan dilanda bencana alam.

Sesiapa yang menyimpan cita-cita ke Fuji, silakan. Cuma sekali lagi diulangi, pastikan anda siap sepenuhnya dari segi mental dan fizikal. Jika sudah tersurat anda mampu menawan puncaknya, tentunya ia tetap berdiri teguh menanti kehadiran anda.

Bagi kami, tiada yang lebih berharga daripada mengingati pengorbanan malim Gunung Kinabalu terutama yang maut dalam bencana gempa bumi baru-baru ini dan tidak salah jika pencapaian kami yang tidak seberapa ini ditujukan khas buat mereka. Al-Fatihah.

Fujiyama, Jepun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain