suria

Habislah sistem demokrasi negara jika anak muda jauhi politik

Golongan muda perlu memainkan peranan dalam arena politik bagi meneruskan kelangsungan demokrasi di negara ini.

MASA depan sistem demokrasi negara mungkin akan runtuh jika golongan muda tidak lagi menunjukkan minat dalam politik, kata pakar pembangunan belia.

Ini kerana katanya segala usaha yang dilakukan oleh barisan kepimpinan negara hari ini mungkin tidak lagi memberikan makna jika tiada golongan muda bersedia untuk meneruskan legasi.

Hakikatnya mungkin terlalu pahit untuk ditelan namun data daripada kajian penilaian Indeks Belia Malaysia 2020 yang dilakukan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (Iyres) menunjukkan skor indeks bagi domain sosialisasi politik belia berlaku penurunan yang mendadak.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet putus umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: SPR: 82.32 peratus pengundi keluar mengundi PRU14

Pakar Pembangunan Belia Fakulti Pengajian Pendidikan dan Felo Bersekutu IPSAS UPM, Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, hasil kajian itu sekali gus menunjukkan tahap kesedaran golongan muda terhadap politik masih lagi rendah.

"Daripada data itu menunjukkan skor indeks pada 2019 adalah 29.03 dan ianya menurun kepada 27.75 pada 2020.

"Ia mungkin disebabkan kurangnya minat untuk terlibat atau ambil tahu tentang perkembangan politik selain bersikap dingin untuk membincangkan hal berkaitan politik.

"Situasi ini jelas berbahaya kerana golongan muda adalah masa depan negara. Usaha perlu dipertingkatkan untuk memastikan mereka lebih 'celik' politik dan bukannya mengundi ikut emosi," katanya ketika dihubungi The Star.

Dr Mursyid

Dr Mursyid merupakan pakar pembangunan belia yang menyumbang tenaga dalam membentuk Dasar Belia Malaysia.

Beliau diminta mengulas laporan Utusan Malaysia yang menyebut bahawa pengundi muda sebagai penentu Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam laporan itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, kuasa pengundi muda menjadi ujian dan cabaran bagi mana-mana parti politik bagaimana untuk memikat golongan terbesar itu yang mempunyai pengaruh dan pendirian tersendiri.

Ini katanya, sekali gus mampu menentukan pola pengundian dan siapa bakal memenangi satu-satu kawasan atau di peringkat negara.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 24 Mei lalu menunjukkan terdapat 5.94 juta pemilih dalam kelompok 21 hingga 39 tahun dan kelompok ini dijangka jadi penentu kepada hala tuju politik negara.

Dalam pada itu, Dr Mohd Mursyid berkata bagi memastikan golongan belia celik poltik, kerajaan atau parti politik perlu peka kepada kehendak mereka.

Oleh itu beliau menyarankan agar ekosistem demokrasi didedahkan ke peringkat lebih bawah seperti di peringkat sekolah.

"Contohnya biasakan mereka dengan sistem ini seawal peringkat sekolah. Ia boleh digunapakai ketika pemilihan ketua pengawas dan sebagainya.

"Bukan soal menang atau kalah semata-mata tetapi untuk mewujudkan ekosistem yang baik. Ia perlu disuburkan untuk melahirkan pengundi matang dan bukannya menjurus kepada undi emosi," katanya.

Artikel Lain