suria

Terjumpa bahan kursus Matematik 12 tahun lalu, suami terkedu saat isteri tunjuk skil baca buku cerita bernombor... ramai teka penciptanya wanita

Atikah berkongsi koleksi buku cerita nombor yang dimiliki sejak bangku sekolah menengah.

SEBUT sahaja Matematik, pastinya ramai mengimbau pengalaman pahit dan manis yang dilalui.

Namun, bagi peniaga kosmetik Nur Atikah Madzlan yang begitu meminati mata pelajaran berkenaan, dia sanggup mengikuti kursus khas selepas mengetahui mengenainya melalui surat khabar kira-kira 12 tahun lepas.

Ujar anak kelahiran Negeri Sembilan itu, kursus 'kem mokhdar' yang disertai ketika sekolah menengah amat membantunya mendalami subjek itu sehingga mampu menyelesaikan soalan tanpa menggunakan kalkulator.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar engineering tular selepas ‘terbongkar’ asal dari Kelantan, pandai cakap Thai! Dulu ‘live’ guna bahasa baku sambutan biasa je

ARTIKEL BERKAITAN: Aduh, kantoi pula! Ada niat tak baik di kolam renang, pemuda ‘terciduk’ dengar jawapan balas wanita pandai cakap Mandarin

Langkah pengiraan yang digunapakai bukan sahaja membantunya score dalam Matematik dan menghafal sifir tetapi membolehkannya membaca buku cerita bernombor yang diberikan semasa kursus berkenaan.

Buktinya, wanita yang mesra disapa Atikah ini telah berjaya membaca apabila secara tiba-tiba 'dipaksa' oleh suami sejurus menjumpai buku tersebut ketika mengemas rumah baru-baru ini.

"Bila saya tunjuk buku cerita bernombor tu, suami saya macam speechless dan dia sangat terkejut ketika saya membaca salah satu buku yang dijumpai.

"Disebabkan teruja, dia minta saya membaca buku yang lain pula dan dalam diam dia rekod video untuk disiarkan di media sosial.

"Saya sedar berkenaan video tu selepas melihat banyak notifikasi komen," kongsinya yang mengakui boleh membaca antara 20 hingga 30 digit dalam satu masa kepada mStar pada Selasa.

Tidak lokek berkongsi ilmu yang dimiliki, Atikah yang kini berusia 28 tahun menyatakan dia berhasrat membuat beberapa tutorial tentang cara membaca buku cerita bernombor selepas mendapat permintaan yang banyak daripada beberapa pelayar media sosial.

Malah, dia juga telah berkongsi teknik asas untuk membaca buku berkenaan di mana seseorang itu perlu mengambil perkataan akhir bagi setiap nombor untuk mengeja perkataan yang tertera.

Koleksi buku cerita nombor yang dimiliki Nur Atikah.

Koleksi buku cerita nombor yang dimiliki Nur Atikah.

"Misalnya, nombor satu akan disebut tu, nombor dua pula disebut wa dan begitu seterusnya. Selain itu, sebutan bagi Ax18 pula agak berbeza di mana A kekal sebagai A manakala x disebut da iaitu bermaksud darab dan 18 pula mewakili la.

"Contoh kedua pula 567 yang disebut sebagai manja. Lima disebut ma, manakala enam mewakili na dan ia akan disambung menjadi 56 iaitu man manakala tujuh disebut ja," jelasnya lanjut.

Selain itu, ruangan komen turut dihujani beberapa buah fikiran kelakar antaranya 'ni mesti perempuan yang punya idea ciptakan benda ni' dan 'aku cuma nak jadi manusia normal bukannya robot'.

Atikah mahu mengajar mereka yang ingin mengetahui teknik pembacaan nombor.

Atikah mahu mengajar mereka yang ingin mengetahui teknik pembacaan nombor.

Dalam pada itu, dia turut menasihati remaja dan murid sekolah yang ingin mendalami mata pelajaran Matematik untuk mengikuti kursus seperti kem mokhdar.

"Remaja sekarang lagi senang nak dapat info, kena ada inisiatif sendiri kalau nak berjaya.

"Macam saya lakukan dahulu, maklumat berkaitan ini saya peroleh semasa membaca akhbar.

"Sekarang pun ada pelbagai tuisyen dan kaedah pembelajaran pun menarik, saya menyertai kursus ini pun kerana caranya menarik," ujarnya yang baharu mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Video yang dimuat naik di TikTok pada 8 Februari telah ditonton lebih 389,600 pengguna selain meraih 37,300 tanda suka (likes) dan turut dikongsi lebih 978 pengguna aplikasi itu

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain