suria

Bomba tangkap buaya sepanjang 4.57 meter sesat tengah jalan

Bomba menangkap seekor buaya yang melintas di Jalan Tiong Nam, Pengerang pada malam Selasa.

SEEKOR buaya sepanjang 4.57 meter yang melintas jalan di Jalan Tiong Nam, Pengerang berjaya ditangkap oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Johor pada malam Selasa.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, buaya itu dikesan berkeliaran di sekitar kawasan tersebut sekitar tengah malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidup dalam ketakutan berakhir, buaya lebih 4 meter ditembak mati sebelum dimakan

"Kami menerima panggilan daripada orang awam mengenai buaya itu pada jam 12.04 pagi Rabu (4 Mei). Seramai 16 anggota bomba dari dua balai bomba dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menangkap reptilia itu.

"Sebaik tiba, kami mendapati buaya sepanjang 15 kaki (4.57m) itu masih bergerak-gerak di tepi jalan.

"Kami mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk menangkap buaya itu dengan bantuan Ikatan Relawan Rakyat (Rela)," katanya.

Tambahnya, buaya itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk dilepaskan di habitat semula jadinya.

"Tiada sebarang kecederaan dikesan pada buaya itu dan kami percaya reptilia itu mungkin berasal dari Sungai Lepau yang terletak berhampiran," katanya sambil menambah operasi tamat pada 1.39 pagi.

Mohd Khairul turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan bantuan daripada jabatan itu bagi menangkap haiwan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain