PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanding empat penjuru untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Bekas timbalan perdana menteri itu akan berdepan Dr Muhammad Faiz Na’aman dari Perikatan Nasional, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Pakatan Harapan) dan calon bebas Tawfik Ismail. Tawfik adalah anak bekas timbalan perdana menteri pada era Tun Abdul Razak, yang juga bekas ahli Parlimen Benut. PRU15 sekali gus menjadikan Ahmad Zahid bertanding untuk kali ketujuh. Beliau pertama kali memenangi kerusi Bagan Datuk pada PRU 1995. Sementara itu perdana menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berdepan dua lagi calon di kerusi Parlimen Bera. Turut bertanding adalah Abas Awang (PH) dan Datuk Asmawi Harun (PN). Ini adalah pilihan raya kelima untuk Ismail Sabri. Beliau pertama kali memenangi kerusi Bera pada 2004. Pada PRU14, Ismail Sabri menang dalam saingan tiga penjuru menentang Zakaria Abdul Hamid (PKR) dan Musaniff Ab Rahman (PAS). Beliau menang dengan majoriti 2,311 undi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI