suria

PM isytihar cuti umum 18, 19 Nov... tol percuma 2 hari

Ismail Sabri mengumumkan 18 dan 19 November sebagai cuti umum. foto AZMAN GHANI/The Star

DIKEMASKINI

TARIKH 18 dan 19 November diumumkan sebagai hari kelepasan am bagi membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut berkata, tiada caj tol akan dikenakan sepanjang dua hari itu bagi mereka yang menaiki kenderaan persendirian.

"Hari mengundi PRU15 menjelang tiba. Sukacita saya umumkan kerajaan menetapkan Jumaat dan Sabtu iaitu 18 dan 19 November ini, sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia mengundi," katanya pada majlis merasmikan pecah tanah Wisma Cuepacs di Putrajaya.

PRU15 akan berlangsung pada 19 November.

Ismail Sabri menjelaskan bahawa 19 November diisytiharkan sebagai hari kelepasan am kerana beberapa syarikat swasta beroperasi pada Sabtu dan pekerja mungkin tidak dapat membuang undi.

"Kita mahu pastikan rakyat dapat melaksanakan hak mereka sebagaimana termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tiada siapa boleh menghalang seseorang rakyat daripada menggunakan hak mereka untuk mengundi," katanya.

Mengenai tol percuma, Perdana Menteri berkata, ini akan terpakai di lebuh raya yang disediakan oleh 30 syarikat konsesi.

Tol percuma bermula dari pukul 12.01 pagi pada 18 November hingga 11.59 malam 19 November.

Kerajaan negeri Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor juga telah mengisytiharkan 18 November sebagai cuti umum. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain