PENGUNDI yang positif Covid-19 wajib memakai pelitup muka di pusat mengundi, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
"Ini bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan selamat dan mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19," kata Ketua Pengarah Kesihatan dalam kenyataan, pada Isnin.
Beliau menambah, pemakaian pelitup muka untuk semua pengundi lain amat digalakkan.
Menurut Dr Noor Hisham, pengundi positif Covid-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat, manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan.
Tambah beliau, pengundi positif Covid-19 juga tidak dibenarkan singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, dan perlu pulang segera selepas selesai mengundi.
"Mereka (pengundi positif Covid-19) juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing," katanya.
Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI