KEMULIAAN hati pendakwah, Ebit Lew sekali lagi menjadi perhatian apabila dia membina rumah baharu kepada mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal. Sebelum ini Rohana Mahfuz, 76, tinggal sehelai sepinggang setelah kehilangan rumah pusakanya di Hulu Langat yang hanyut dibawa arus banjir pada hujung tahun lalu. Selepas banjir surut, dapat dilihat apa yang tinggal hanyalah tangga batu di bahagian hadapan dari keseluruhan rumah pusaka yang berusia 50 tahun itu. Rumah pusaka Rohana selepas banjir tahun lalu. Ebit Lew, pada Ahad menziarahi Rohana selepas dia berjanji pada awal tahun lalu untuk membantu membina sebuah rumah baharu untuk warga emas itu. "Masa tu satu Malaysia tular kisah nenek ni. Kami bantu bina semula rumah baharu. "Hadiahkan rumah baharu untuknya. Ini semua dari Allah," kata Ebit Lew melalui satu hantaran di akaun Instagram @ebitlew. Dalam video perkongsiannya itu, Rohana dilihat terharu dengan pemberian Ebit Lew yang cukup bermakna sehingga dia berasa terhutang budi. "Menangis nenek tadi ucap terima kasih dan memberi semangat baru untuknya. "Beliau lemah masa tu dan tak kuat. Kini menangis terharu melihat kasih sayang Allah padanya. "Bersungguh-sungguh ajak saya datang bawa keluarga mandi-mandi sungai di belakang rumahnya," ujar Ebit. Ebit sempat berterima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan misi bantuan kepada Rohana. Dia juga mendoakan agar segalanya dipermudahkan untuk Rohana dalam menempuh hari yang mendatang. " Ya Allah berilah kesihatan buat nenek Rohana dan bahagiakan hatinya dan jagalah dirinya sentiasa," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI