suria

Guru pempengaruh beri nafas baharu dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah menerusi program Edufluencers

Program Edufluencers membentuk komuniti guru yang saling membantu.

GURU ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang sekeliling.

Seperti bidang lain dalam segenap industri, pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlu bergerak sejajar dengan peredaran zaman.

Pelajar pada masa kini mahukan proses pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan menarik perhatian.

Satu inisiatif yang dipanggil Edufluencers telah digerakkan bagi membawa pembaharuan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Program tersebut dibawakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU).

Edufluencers merupakan gabungan perkataan 'education' dan 'influencers' - merujuk kepada kumpulan guru contoh yang memainkan peranan untuk mentransformasikan sektor pendidikan.

Melalui Edufluencers guru mempunyai platform untuk berkongsi pengetahuan.

Guru yang terpilih untuk memasuki program Edufluencers akan menjadi inspirasi kepada rakan sejawat dengan menunjukkan praktis pembelajaran yang terbaik dalam aspek inovasi dan teknologi.

Ketua Eksekutif PADU, Radzifuddin Nordin berkata guru yang terpilih adalah mereka yang sangat kreatif dan mempunyai penuh inspirasi dari seluruh negara.

"Edufluencers merupakan sekumpulan guru suri teladan atau pempengaruh pendidikan yang memberi inspirasi.

"Dengan mengiktiraf guru ini sebagai Edufluencers, mereka diberikan ruang dan peluang untuk berkongsi amalan terbaik, idea baharu, pandangan serta semangat dan aura mereka dengan rakan guru yang lain dan pengikut mereka," katanya.

Idea untuk program Edufluencers ini tercetus ketika 100 peserta terbaik disenaraikan dalam kempen guru pembelajaran abad ke-21 yang dianjurkan pada Disember 2018.

Edufluencers menanam rasa kebersamaan dalam kalangan guru.

Guru yang terpilih telah berikrar untuk memotivasikan pelajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran melalui inovasi dan kreativiti yang dimilki mereka.

Dalam masa yang sama, melalui kempen itu mereka juga berjaya memenangi hati ibu bapa dan komuniti.

Melihat kepada impak yang diberikan kempen itu dalam komuniti pendidik, KPM dan PADU berpendapat guru perlu diberikan pengiktirafan khas dan disediakan sebuah platform untuk mereka berkongsikan idea dan cadangan inovasi.

Oleh itu, barisan pertama Edufluencers telah diperkenalkan pada Disember 2019.

Tahun ini, PADU mengembangkan komuniti Edufluencers melalui satu lagi kempen iaitu Pencarian Edufluencers 2.0, yang mana program ini komited untuk memartabatkan profesion perguruan sebagai haluan kerjaya.

Menurut Radzifuddin, program Edufluencers adalah sebahagian usaha untuk mengiktiraf peranan guru dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Edufluencers membantu guru bersama-sama menambah baik kualiti pengajaran.

"Dan ini perlu dilakukan melalui pembangunan budaya kecemerlangan dan proses pensijilan yang diterajui rakan sebaya menjelang 2025. Inilah yang kita lakukan dengan Edufluencers," terangnya.

Melalui program itu, guru diberikan pendedahan tentang pelbagai teknik untuk menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran.

Mereka juga didedahkan dengan kaedah yang terbaik untuk menyampaikan mesej secara efektif dan mereka dimasukkan ke dalam komuniti guru dalam talian.

PADU berharap Edufluencers akan memberikan impak positif kepada pendidik bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

"Melalui pelaksanaan inisiatif di bawah PPPM, kami berharap semua guru KPM khususnya akan membangunkan keupayaan bertaraf dunia yang diperlukan untuk memudahkan pencapaian murid yang diingini.

"Pada masa yang sama mereka mendapat lebih keseronokan dan kepuasan dalam menjalankan tugas mereka," kata Radzifuddin.

Berganding bahu ke menara gading

Lee Von Li berkata Edufluencers merupakan sistem sokongan kepada setiap guru.

Antara peserta yang terpilih dalam program Edufluencers adalah Lee Von Li iaitu seorang guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang mengatakan program itu menjadi platform untuk guru berdiskusi.

"Dalam komuniti Edufluencers, kami berkongsi dan berbincang mengenai pengalaman dan kaedah yang digunakan dalam pengajaran. Kami bertindak sebagai sistem sokongan di antara satu sama lain.

"Kami bersama memberikan penjelasan mengenai sebarang kekeliruan berkaitan sektor pendidikan kepada masyarakat agar mereka dapat berasa yakin dengan sistem pendidikan negara.

"Perjumpaan bersama guru dari pelbagai latar belakang tempat, geografi dan budaya telah membuka mata saya.

"Pengetahuan yang diperoleh adalah berharga. Ia boleh diaplikasikan ketika proses pengajaran sama ada di billik darjah atau kelas secara maya, sekali gus memberikan pelajar saya pengalaman pembelajaran yang lebih berkualiti," katanya.

Seorang lagi peserta program Edufluencers adalah Stephen Isaac iaitu seorang guru di SMK (L) Methodist Sentul, Kuala Lumpur yang sentiasa teruja untuk memberikan pelajarnya proses pembelajaran yang bermakna.

Antara inisiatif yang digunakan adalah mendepankan pelajar dalam bilik darjah melalui pendekatan pembelajaran abad ke-21.

Melalui cara ini, pelajar akan memperoleh kemahiran dan nilai insaniah seperti kreativiti, semangat kerjasama, pemikiran kritis dan kebolehan berkomunikasi secara efektif ketika kelasnya.

Program Edufluencers menyediakan peluang kolaborasi sesama guru.

"Sebagai seorang Edufluencers, kita didorong untuk berkongsi sesama komuniti kami mengenai proses pembelajaran dan pengajaran yang terbaik.

"Saya juga menyelitkan inovasi pengajaran tersebut ketika aktiviti kelas bersama pelajar," katanya.

Program itu telah menggalakkan Stephen untuk lebih terbuka berkongsi kaedah pengajaran yang digunakannya dan pengalaman yang dilaluinya di pelbagai platform.

"Dari semasa ke semasa, saya berkongsikan pandangan, perspektif dan pengalaman berkaitan isu pendidikan dan juga pengalaman saya pergi melancong, satu perkara yang saya sangat minati.

"Perbincangan ini boleh dilakukan secara fizikal atau melalui ruang maya seperti webinar, platform media sosial dan sebagainya," katanya.

Norani Rahim berkata program Edufluencers membantu pembangunan modal insan di Malaysia.

Bagi Norani Abd Rahim, program Edufluencers adalah satu peluang yang boleh digunapakai untuk mempelajari ilmu baharu.

Pensyarah Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas di Kuala Lumpur ini berkata program itu menyediakan platform yang berguna untuk perkongsian maklumat.

"Di luar sana, ramai figura dari pelbagai profesion sedang berkongsikan pengetahuan mengenai kepakaran mereka kepada masyarakat. Oleh itu, kami sebagai warga pendidik juga perlu menjadi lebih terbuka.

"Kami (guru) mempunyai pengetahuan pedagogi dan kepakaran dalam bidang pendidikan, kami berasa bertanggungjawab untuk berkongsikannya kepada orang awam.

"Bersama pempengaruh yang lain, kami dapat bekerjasama mempromosikan kandungan pendidikan yang memberi impak dan berkualiti sebagai satu usaha pembangunan modal insan di Malaysia," katanya.

Tambah Norani lagi, program Edufluencers membantu meningkatkan keyakinan diri seorang guru serta rasa kebersamaan dalam kalangan mereka.

Perjumpaan guru dalam program Edufluencers boleh diadakan secara bersemuka dan di ruangan maya.

"Edufluencers boleh menaikkan keyakinan guru baharu dan juga mereka yang berpengalaman, mendorong mereka mencuba kaedah dan teknik pedagogi baharu serta inovasi yang selaras dengan keperluan masa kini," katanya.

Menurut Norani, komuniti dalam talian yang terbentuk melalui program itu juga sangat membantu.

"Rangkaian hubungan yang boleh diakses di hujung jari memudahkan semua pempengaruh untuk mendapatkan maklumat, sokongan dan membuat kolaborasi pendidikan.

"Sebagai contoh, melalui program ini, pelbagai aktiviti kolaborasi di antara Edufluencers dapat direalisasikan yang berguna kepada pelajar, sekolah dan komuniti," katanya.

Norani juga berterima kasih kepada program ini kerana telah meningkatkan keyakinan dirinya.

Ia mendorongnya untuk menjadi seorang warga pendidik yang lebih berkaliber.

"Saya lebih berkeyakinan untuk berkongsikan hasil kandungan saya apabila menerima maklum balas positif dan sokongan daripada Edufluencers lain.

"Kita perlu berkongsikan lebih banyak input ilmiah untuk memberikan kesedaran serta menyampaikan maklumat yang boleh dijadikan rujukan dan bimbingan kepada yang lain," katanya mengakhiri bicara.

Program Edufluencers membantu Irma Rahayu menguasai kemahiran penggunaan tekonologi untuk tujuan pengajaran.

Irma Rahayu Ibrahim yang merupakan seorang guru di SMK USJ 13, Selangor berkata program Edufluencers menjadikannya lebih arif mengenai penggunaan teknologi dan platform dalam talian.

"Kita tinggal di dunia yang didominasi media sosial dan program ini membantu saya untuk mengadaptasi inovasi pendidikan digital menerusi platform dalam talian serta aplikasi pembelajaran semasa.

"Program ini juga menekankan pembangunan kemahiran digital, kreativiti dan kompetensi kepada guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

"Saya berharap program ini akan dapat terus merekrut lebih ramai guru yang berkebolehan untuk mengilustrasikan praktis yang berkesan dalam pengajaran.

"Serta berkongsi kisah kejayaan sebagai sumber inspirasi kepada rakan sejawat yang lain," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain