DIKEMASKINI DUA maut, manakala lapan lagi dikhuatiri masih hilang dalam tragedi kepala air ketika berkelah di Kampung Air Putih di Kemaman, pada Ahad. Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintenden Ahmad Syukri Yusoff berkata, dua mangsa yang ditemukan lemas ialah Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11. "Mayat pertama iaitu seorang wanita ditemui orang ramai di tebing sungai berhampiran Kubur Kampung Laut, Pasir Gajah, Kemaman. "Mayat kedua pula iaitu seorang lelaki ditemui di atas kayu di tebing sungai menuju ke Tasik Hutan Sungai Air Putih," katanya dalam kenyataan. Menurut Ahmad Syukri berkata, kesemua mayat dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. Beliau menambah, hasil siasatan awal pada kedua-dua mayat tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau kesan pelakuan jenayah. Difahamkan, kejadian berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak petang Sabtu hingga awal pagi Ahad, dengan semua mangsa dipercayai membabitkan sebuah keluarga. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube