BERTENGKAR dengan isteri, seorang lelaki tergamak membelasah dua anaknya yang masih kecil. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, anak perempuan suspek berusia 11 tahun ditumbuk, manakala anak lelakinya berusia tiga tahun ditampar. Dalam kejadian pada Rabu, pertengkaran berlaku selepas isteri suspek meminta pasport miliknya serta anak-anak. "Suspek didakwa menumbuk muka anak perempuan mereka berusia 11 tahun sebanyak dua kali. "Lelaki itu juga didakwa menampar muka anak lelakinya berusia tiga tahun sehingga meninggalkan kesan lebam," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad. Mohd Azam berkata, pengadu turut diugut oleh suaminya kerana mahu membuat laporan polis. Suspek yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai penunda kenderaan ditahan pada pukul 6.45 petang Jumaat. "Pertengkaran dipercayai bermula selepas pengadu bertanyakan mengenai pasport dan pemilik sepasang kasut yang ditemui di pejabat suaminya, sehingga menyebabkan kejadian itu. "Suspek direman tujuh hari hingga 7 Julai ini untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah dua anak suspek kini berada di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk rawatan dan pemantauan lanjut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube