suria

Menteri tular buat kecoh di KLIA dedah anggota imigresen minta rasuah

Kekecohan yang berlaku di KLIA pada Khamis yang didakwa melibatkan seorang menteri. -Gambar media sosial

SEJAK Khamis, kecoh mengenai seorang menteri yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menjawab isu yang hangat diperkatakan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan 'pencerobohan' tersebut.

"Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian.

"Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac)," ujarnya menerusi satu kenyataan media.

King Sing mengakui berada di KLIA ketika itu selepas menerima aduan daripada pelancong, namun menjelaskan kehadirannya adalah untuk memahami situasi serta pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar tak main-main, janji pecat menteri rasuah serta-merta!

"Apa yang berlaku sebenarnya ialah, beliau (pelancong) ditahan tanpa diberikan alasan atau sebab beliau ditahan. Masalah timbul apabila kedua-dua, pihak pegawai imigresen dan pelancong asing tersebut mempunyai masalah komunikasi.

"Dimaklumkan bahawa pelancong tersebut telah lengkap segala dokumentasi namun kegagalan komunikasi kedua pihak menggagalkan pihak Imigresen mendapatkan dokumen yang diperlukan dari pihaknya," ujarnya sambil menambah, beliau mempunyai pas yang sah untuk memasuki kawasan ruang ketibaan.

King Sing menambah, kehadirannya bagaimanapun membongkar insiden yang memalukan di mana beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

"Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal.

"Namun disebabkan isu ini tular dan ramai pengamal media menghubungi saya, maka ini penjelasannya.

"Saya turut diberitahu bahawa ada pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

"Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal. Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi 'laluan khas', manakala RM12,000 untuk kos memproses visa.

"Semua maklumat ini akan diserahkan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara," katanya lagi.

Ujarnya, sudah tiba masanya untuk pasukan SPRM masuk ke KLIA secara besar-besaran bagi menyiasat apa yang berlaku di pintu masuk utama negara.

Beliau menambah, perkara berkenaan akan dibangkitkan ke Kabinet termasuk cadangan memansuhkan ejen yang mengendalikan pelancong asing yang ditolak kemasukan (NTL - Not To Land).

"Saya dan Motac akan terus bersama-sama Perdana Menteri dalam usaha membanteras rasuah serta penyelewengan kuasa di negara ini, walau apa jua cabaran mendatang," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain