RAMAI meluahkan rasa kagum apabila seorang pemuda berjaya menghasilkan lukisan wajah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah di atas sehelai kain songket. Lebih membanggakan, karya kreatif yang dibuat oleh Muhammad Darwisy Mustafani itu turut dibawa ke Istana Negara untuk dipersembahkan kepada baginda berdua. Menurut Darwisy, 23, karya itu ditempah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dipersembahkan ke Istana Negara sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian (DKPP) Tahun 2024 yang berlangsung pada Rabu. Penghasilan karya ini mengambil masa selama tiga minggu. "Sebenarnya PDRM approach saya di TikTok, sebab sebelum ini ada lukisan saya di atas songket yang viral. Awalnya saya tak tahu kena buat lukisan untuk Istana Negara. "Saya dah jangka kena buat lukisan untuk individu penting, tapi tak tahu pula kena buat lukisan untuk dijadikan hadiah kepada Agong dan Raja Permaisuri sempena istiadat itu. "Bila dapat panggilan dari Bukit Aman, barulah saya tahu kena buat lukisan untuk Istana Negara dan akan dipersembahkan di hadapan Agong dan Raja Permaisuri," ujarnya kepada mStar. Saya gembira dan teruja bila dapat peluang ini, sebab lukisan ini akan jadi koleksi istana. MUHAMMAD DARWISY MUSTAFANI Menurut Darwisy, dia teruja apabila karyanya menerima perhatian daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kerana tidak ramai pelukis yang mendapat peluang keemasan seperti ini. "Saya gembira dan teruja bila dapat peluang ini, sebab lukisan ini akan jadi koleksi istana. Tak ramai pelukis yang dapat peluang ini, walaupun hanya lukisan saja yang masuk istana. "Saya tak dapat pergi kerana ia istiadat rasmi yang tertutup untuk polis. Tapi bila nampak gambar saya di depan Tuanku dalam istana, saya gembira," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Sayangnya nak belah! Kreatif sangat, pemuda berdepan ‘masalah’ selepas lukis lembu atas kelapa muda ARTIKEL BERKAITAN: Guna sticker ke? Remaja ini terpaksa buktikan bakatnya dengan kongsi video time lapse gara-gara lukisan ‘terlampau real’ Menurut Darwisy yang baru menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan, potret itu mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan. Darwisy turut memuat naik video proses penghasilan lukisan itu ke media sosial miliknya sehingga dia dihujani pujian netizen. "Tahniah. Semoga terus menghasilkan karya yang indah dan kreatif. "Cantik sangat. Kurniaan Allah, bukan semua orang ada bakat macam ni. Lukisan atas songket yang dihasilkan Darwisy dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di Istana Negara. "MasyaAllah tahniah, cantik sangat," tulis beberapa netizen. Untuk rekod, Darwisy pernah mendapat liputan mStar apabila dia menghasilkan lukisan di atas pelitup muka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020. Pada tahun 2022, dia sekali lagi tular apabila berjaya menghasilkan lukisan di atas sebiji buah kelapa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube