suria

Pemuda hempuk warga emas guna helmet sudah ditahan

Tangkap layar insiden seorang warga emas rebah dihempuk helmet yang tular di media sosial sejak Jumaat.

PEMUDA yang didakwa memukul seorang lelaki warga emas dengan topi keledar dalam kejadian di Taman Cheng Utama, Melaka, pada Khamis, sudah ditahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 17 saat yang tular di Facebook, memaparkan insiden berkenaan, pada hari ini.

Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku pada 27 Mac dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas rebah dihempuk guna helmet, cucu ketakutan menjerit panggil ‘atuk’ dari dalam kereta

"Insiden pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham ketika di jalan raya. Ia berlarutan hingga membawa kepada tindakan fizikal.

"Suspek yang berusia 27 tahun didapati memukul mangsa berusia 52 tahun menggunakan topi keledar," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk memberikan keterangan lanjut dan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Melaka. 

Tambah Christopher, motosikal, topi keledar dan pakaian yang dipakai suspek juga turut dirampas.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan

Christopher menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil atau menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Artikel Lain