SEORANG bayi perempuan berusia setahun maut selepas dilanggar bapa sendiri secara tidak sengaja ketika mengundurkan kereta.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku di Taman Desa Harmoni, Pasir Gudang, Johor sekitar pukul 2.30 pagi, Sabtu.
"Sewaktu mengundurkan kenderaan, pemandu terdengar bunyi dari arah belakang tayar sebelah kiri.
"Setelah turun untuk memeriksa, dia mendapati anaknya berada di belakang kereta dalam keadaan berdarah dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, pemandu berusia 27 tahun itu segera membawa anaknya ke Hospital Sultan Ismail, namun mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di hospital.
Tambah Mohd Sohaimi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dia turut menasihatkan pemandu supaya lebih berhati-hati dan memastikan anak-anak berada di kawasan selamat sebelum memulakan pemanduan, khususnya di kawasan rumah.