TEMERLOH: Mayat seorang bekas anggota polis ditemui tertiarap di dalam semak berhampiran sebuah tapak pembinaan perumahan di Taman Kemuning di sini, pagi ini.Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri Pahang ACP T.Narenasegaran berkata mayat Saidin Kasim, 56, ditemui oleh seorang pekerja tapak pembinaan semasa dia dalam perjalanan ke tempat kerja, kirakira pukul 8.30 pagi. Beliau berkata terdapat kesan kecederaan yang teruk pada muka dan telinga Saidin, yang dipercayai akibat dipukul dengan satu objek keras, dan polis turut menemui sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai milik bekas anggota polis berpangkat Sarjan itu di tempat kejadian."Kami percaya penyerangnya lebih daripada seorang dan Saidin mungkin diheret keluar dari kereta berdasarkan kesan darah yang ditemui pada lantai keretanya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.Katanya Saidin bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh sebelum bersara pada bulan Disember lalu, dan tinggal di Taman Temerloh Jaya di sini.Narenasegaran berkata Saidin dipercayai keluar daripada rumahnya kirakira pukul 11 malam tadi untuk bertemu beberapa rakannya di sebuah tempat yang tidak diketahui.Sementara itu, salah seorang anak Saidin yang hanya dikenali sebagai Azwan turut berada di tempat kejadian bagi tujuan pengecaman mayat.Beliau yang masih terperanjat dan sedih dengan kejadian itu terpaksa ditenteramkam oleh beberapa anggota polis dan orang ramai. BERNAMA