suria

Atuk tiri rogol cucu

GUA MUSANG: Seorang pelajar mengadu dirogol oleh datuk tirinya yang berusia 45 tahun, ketika tidur di sebuah rumah kongsi di Felda Perasu dekat sini Mac lalu.

Mangsa yang berusia 13 membuat laporan polis di Balai Polis Gua Musang, kirakira 1.10 petang tadi dengan ditemani ibunya yang berusia 36 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Dsp Aziz Hasan berkata, kejadian berlaku kirakira pukul 4 pagi ketika mangsa tidur di rumah datuk tirinya di rumah kongsi berkenaan.

Beliau berkata, ketika kejadian, nenek tirinya yang berusia lingkungan 40an dikatakan keluar memasak di rumah kongsi berkenaan untuk pekerja balak yang tinggal di situ.

"Ketika mangsa sedang tidur, datuk tirinya bertindak merogol mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aziz berkata, kejadian itu disedari oleh ibu mangsa selepas dia pulang ke rumahnya di Felda Perasu, Gua Musang dan mendapati anaknya berubah sikap dan kelihatan murung serta tidak mahu bercakap.

Beliau berkata, ibunya kemudian bertanya kepada mangsa sebelum mangsa menceritakan kejadian yang berlaku.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang pelajar Tingkatan Satu di salah sebuah sekolah di Gua Musang kemudian dibawa oleh ibunya membuat laporan berhubung kejadian itu.

"Sebaik menerima laporan, kita melancarkan gerakan memburu datuk tiri mangsa tetapi dipercayai dia sudah menghilangkan diri ke Jeli," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan mangsa telah dirogol. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain