IPOH: Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan hari ini dibidas kerana mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan, satu kenyataan yang dianggap boleh menimbulkan pergeseran dalam Barisan Nasional."Sepatutnya, dalam keadaan ini, beliau memberi perangsang dan menyokong kita," kata Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Kubu Gajah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar kepada Bernama hari ini. Beliau berkata Teng seharusnya menumpukan perhatiannya kepada usaha pemulihan Gerakan di Pulau Pinang."Apakah Teng tidak tahu BN mempunyai suara majoriti di Perak. Adakah dia tidak tahu krisis yang berlaku ini berpunca dari Pakatan Rakyat yang enggan menerima hakikat yang mereka telah hilang suara majoriti," katanya.Dalam sidang akhbarnya di Pulau Pinang semalam, Teng berkata langkah membubarkan DUN akan membolehkan rakyat Perak memutuskan parti mana yang sepatutnya mentadbir negeri itu.Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, pula berkata rakyat Perak perlu diberi penjelasan bahawa BN berhak memerintah negeri itu kerana mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri."Krisis politik di Perak merupakan isu nasional dan perlu diperjelaskan kepada setiap penduduk di negeri ini bagi mengelak timbulnya kekeliruan," katanya selepas menemui jentera penerangan Umno Perak di sini malam tadi.Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau akan menjelaskan setiap isu berkaitan kemelut politik Perak dalam rangka lawatannya ke negeri-negeri dalam masa terdekat. BERNAMA