KUALA LUMPUR: Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin Jazlin, kanak-kanak yang diculik dan dibunuh dua tahun lalu, membuat permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini agar mahkamah memutuskan sama ada Ketua Polis Negara dan tiga pihak lain bertanggungjawab terhadap penyebaran gambar bedah siasat anaknya di Internet.Jazimin, 35, membuat permohonan itu melalui Tetuan Akbardin & Co, setelah Ketua Polis Negara dan tiga lagi defendan, mengaku dalam pernyataan pembelaan mereka bahawa gambar tersebut telah disebarkan oleh Lans Koperal Amran Arifin yang telah membawa balik draf dan lebihan laporan bedah siasat Nurin. "Oleh itu, dengan pengakuan defendan ini, mahkamah tidak perlu membicarakan kes ini dan hanya perlu memutuskan sama ada defendan perlu memberikan ganti rugi kepada plaintif," kata Jazimin dalam permohonannya.Katanya gambar itu yang bersifat sulit dan peribadi sepatutnya berada dalam kawalan defendan untuk menjalankan penyiasatan kes Nurin, dan bukannya untuk tatapan umum."Defendan jelas telah memalukan saya dan keluarga dan memberikan impak yang amat dahsyat terhadap emosi kami setelah kehilangan anak yang masih kecil," kata Jazimin dalam permohonan itu.Pada 21 Ogos 2008, Jazimin, pekerja di syarikat keselamatan, memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia, atas dakwaan kecuaian berhubung penyebaran gambar bedah siasat anaknya melalui Internet.Defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka bertarikh 5 Disember 2008, mengaku bahawa gambar yang disiarkan di Internet itu ialah gambar bedah siasat Nurin, tetapi mendakwa kejadian itu berlaku di luar kawalan dan jangkaan mereka.Defendan juga menafikan bertanggungjawab terhadap perbuatan Lans Koperal Amran yang menyebarkan gambar tersebut atas alasan perbuatan anggota polis itu adalah di luar bidang tugas yang diberikan."Defendan menegaskan bahawa tindakan Lans Koperal Amran yang membawa balik draf dan lebihan laporan adalah berasaskan motif beliau secara peribadi yang tiada kaitan dengan skop pekerjaan dan tugasnya," kata defendan dalam pembelaan itu.Defendan menyatakan bahawa Lans Koperal Amran telah menunjukkan laporan tersebut kepada jirannya yang kemudian merakam gambar tersebut melalui telefon berkamera sebelum menyebarkannya di Internet.Nurin Jazlin, 8 tahun, ditemui mati selepas 27 hari dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007, ketika keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.Mayat pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak itu ditemui dalam sebuah beg yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin juga didera secara seksual. BERNAMA