suria

Dipenjara lima tahun kerana merompak untuk bersuka ria di disko

KUALA LUMPUR: Pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Abdur Rahman Rahim, mengaku di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia telah melakukan satu rompakan kerana mahu menambah pendapatan bagi tujuan bersuka ria dengan kawankawan di disko.

Ketika ditanya Hakim Zainal Abidin Kamaruddin kenapa dia berbuat demikian, Abdur Rahman, 27, berkata tindakannya itu adalah kerana terpengaruh dengan ajakan rakanrakan.

"Walaupun ini adalah kesalahan pertama awak tapi awak tidak sepatutnya melakukannya. Masa depan sendiri dan keluarga awak akan hancur," kata Hakim Zainla Abidin sebelum menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Abdur Rahman bagi setiap pertuduhan, iaitu merompak berkumpulan dan menyimpan harta curi, pada 13 Julai tahun lepas, setelah Abdur Rahman mengaku bersalah.

Hakim memerintahkan Abdur Rahman, yang mempunyai dua anak, menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh ditangkap pada 31 Julai 2008.

Abdur Rahman didakwa, bersamasama seorang lagi yang masih bebas, merompak barang kemas bernilai RM100,000 kepunyaan pemilik kedai emas, Leong Tuek Wah, 51, di Kedai Emas Meng Hin, The Store Supermarket, Taman Kok Lian, Jalan Ipoh, pada 3.30 petang 13 Julai 2008.

Abdur Rahman turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyimpan harta curi iaitu tiga utas rantai emas seberat 15.52 gram, kepunyaan kedai itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haslida Isamail, manakala Abdur Rahman diwakili peguam bela, Mohammad Rashid Mokthar. BERNAMA

Artikel Lain