TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini mematahkan cubaan menyeludup keluar 1,139 kilogram gula pasir dalam dua operasi berasingan pasukan itu semalam. Ketuanya, DSP Husaini Zainal Abidin berkata dalam op Octopus pertama, pihaknya merampas 912kg gula pasir bernilai RM1,368 dari tiga buah bot berdekatan jeti Sabah Fisheries Marketing Sdn Bhd (Safma) kira-kira jam 12.30 tengahari.
Bot berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Sungai Pancang, Indonesia namun tiada sebarang tangkapan dibuat.
Dalam operasi Op Octopus kedua kirakira 4.30 petang, pasukan yang sama menahan dua buah feri penumpang yang dalam perjalanan ke Nunukan, Indonesia dan setelah diperiksa anggota PGM menemui 227kg gula di atas feri berkenaan, katanya.
Husaini berkata PGM tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan terutama yang melibatkan barangan kawalan dan bersubsidi itu. BERNAMA