KUALA LUMPUR: JobsMalaysia - portal mencari pekerjaan yang dibina khusus untuk membantu para siswazah mendapatkan kerja, telah mendaftar sejumlah 70,000 permohonan baru tahun ini.Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan ketika memaklumkan demikian kepada Dewan Rakyat hari ini berkata, sehingga 13 November, portal berkenaan telah mencatatkan rekod pendaftaran 69,760 permohonan dengan siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) paling ramai dalam senarai calon-calon dari universiti awam iaitu dengan 12,768 permohonan. Ini diikuti oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan masing-masing 4,151 dan 2,943 permohonan."Daripada jumlah tersebut, 18 adalah pemegang ijazah sarjana kedoktoran, 1,165 dengan ijazah sarjana dan 36,985 adalah pemegang ijazah sarjana muda manakala 31,592 lagi adalah pemegang diploma," jelas beliau ketika menjawab pertanyaan Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang).Maznah juga turut memaklumkan bahawa sebahagian besar yang mendaftar dengan portal mencari pekerjaan itu mengkhusus dalam bidang pentadbiran perniagaan, kejuruteraan elektrik, elektronik dan telekomunikasi, kejuruteraan awam, mekanikal dan mekatronik juga perakaunan dan sains tulen.