KUALA LUMPUR: Seorang pemotong daging warga Indonesia dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kematian rakan senegaranya dari Sumatera Utara selepas mereka bertikam lidah, tiga tahun lalu.Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan Shahrul Efendi, 30, menjalani hukuman bermula tarikh tangkap pada 3 Disember, 2006, selepas dia mengaku bersalah ke atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian buruh pasar, Adi Syaputra, 31. Shahrul dituduh melakukan kesalahan itu di rumah No.28, Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini, kira-kira 9 malam, 3 Disember 2006.Mengikut fakta kes, kedua-dua mereka yang bekerja di Pasar Chow Kit telah bertikam lidah ketika sedang minum di sebuah warung tetapi dileraikan oleh rakan-rakan senegaranya.Sepuluh minit kemudian, Shahrul dikatakan telah mengekori mangsa ke satu lorong berhampiran sebelum kembali dengan sebilah pisau yang berlumuran darah serta kesan darah di bajunya.Adi yang ditikam sekali di bahagian dada telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan meninggal dunia beberapa jam selepas itu.Shahrul ditahan polis pada hari yang sama berhampiran dengan tempat kejadian.Terdahulu, peguam Rozal Azimin Ahmad yang mewakili Shahrul memberitahu mahkamah tertuduh tidak berniat untuk mencederakan Adi tetapi ia lebih berpunca daripada perasaan marah setelah dia diserang Adi dengan sebiji gelas dan menerima lima jahitan di kepalanya.Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar berhujah bahawa mahkamah harus menjatuhkan hukuman berat kerana tertuduh bukan sahaja memasuki negara ini secara haram tetapi telah melakukan satu kesalahan yang serius. BERNAMA