suria

Tujuh Suspek Termasuk Tiga Warga Asing Ditahan Kes Dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh orang termasuk tiga warga asing di sekitar Cheras dan merampas 1.7kg dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM12,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abd Rahim Hamzah Othman berkata kesemua dadah yang dirampas itu adalah dari jenis ketamine, ganja dan heroin yang diedar di sekitar daerah tersebut.

Dalam serbuan pertama Isnin lepas, polis menahan tiga suspek sepasang suami isteri dan seorang lelaki dari Acheh, Indonesia, berumur lingkungan 20 hingga 36 tahun, di sebuah rumah di Taman Pertama, Cheras dan merampas dadah jenis ganja seberat 1.205 kg bernilai RM4,600.

"Dadah disorok di dalam ruang dinding. Ia ditemui selepas pihak polis menyedari terdapat sekeping papan yang mencurigakan di belakang kabinet dapur. Selepas papan diumpil polis menemui ketulan mampat daun kering yang dipercayai dadah jenis ganja seberat 1kg."

Polis juga menjumpai empat paket ganja yang masingmasing seberat 50g yang dibalut dengan plastik perak dalam lubang itu, serta dua plastik lutsinar yang mengandungi 5g ganja, katanya pada sidang berita di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata mereka memasuki negara ini secara sah dan bekerja sebagai buruh kasar dan pekerja pasar di ibu negara.

Dalam serbuan kedua pada 19 Nov lepas, polis memberkas seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Taman Tenaga, Cheras.

Dalam kejadian itu, polis menemui sebuah beg plastik yang mengandungi 28 plastik lutsinar seberat 87.4g dipercayai heroine dianggarkan bernilai RM2,500 yang dibalut dengan surat khabar di atas lantai berdekatan suspek.

Beliau berkata dadah itu percayai untuk diagihkan di sekitar kawasan Cheras, dan suspek telah bergiat aktif sejak Mac tahun lepas.

Sementara itu, dalam serbuan ketiga, dua beradik dan seorang wanita ditahan di rumah mereka di Taman Desa Petaling, Cheras pukul 12.05 pagi dan merampas 354 gram dadah dipercayai ketamine yang dianggarkan bernilai RM5,000.

Katanya kesemua mereka kini ditahan reman sehingga Jumaat ini. BERNAMA

Artikel Lain