suria

29 Peserta APCET Diberi Ganti Rugi RM30,000 Seorang

KUALA LUMPUR: Setelah 11 tahun saman difail, Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan polis dan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM30,000 kepada setiap seorang daripada 29 peserta persidangan "Asia Pacific Conference On East Timor (APCET)" disebabkan kesusahan yang mereka alami semasa ditahan selama 24 jam dari 9 hingga 10 November 1996.

Hakim Datuk Wan Adnan Muhamad, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata jumlah ganti rugi am RM30,000 itu adalah memadai kerana ganti rugi bukanlah ganjaran tetapi pampasan berasaskan kepada kesusahan yang mereka alami.

Bagaimanapun, katanya, tindakan polis menahan mereka di tempat persidangan itu adalah tidak salah kerana polis menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan, supaya tidak berlaku kekecohan di situ.

Wan Adnan juga berkata, perintah lanjutan tahanan reman terhadap mereka juga adalah betul kerana majistret membuat perintah itu atas permohonan polis.

Beliau juga memerintahkan polis dan kerajaan Malaysia membayar faedah lapan peratus setahun dari tarih saman difailkan iaitu pada 9 Nov 1998 sehingga penyelesaian penuh kes itu dan juga kos kepada kesemua 29 peserta terbabit.

Wan Adnan tidak memberikan mereka ganti rugi teladan, keterlaluan dan ganti rugi khas kerana mereka tidak memberikan dokumen lengkap semasa perbicaraan tetapi hanya keterangan secara lisan sahaja.

Antara 29 peserta yang mendapat bayaran ganti rugi itu ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali; Ketua Penerangan parti itu, Chua Tian Chang; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, J.Premesh Chandran; Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Syed Shahir Syed Mohamad dan peguam R.Sivarasa.

Mereka diwakili peguam Ranjit Singh, Rashid Ismail dan Jamie Wong manakala peguam Kanan Persekutuan Iznan Ishak mewakili keempat-empat defendan terdiri bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Ismail Che Ros; bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Zainal Abidin Ali, pegawai penyiasat Cif Inspektor Tengku Hamzah Tengku Abdullah dan kerajaan Malaysia.

Ketika ditanya sama ada defendan akan merayu terhadap jumlah ganti rugi yang perlu dibayar itu, Iznan enggan mengulas.

Pada mulanya seramai 36 peserta persidangan itu memfailkan saman sebanyak RM87 juta tetapi bilangan bertukar menjadi 29 kerana ada yang menarik balik saman dan seorang telah meninggal dunia.

Dalam pernyataan tuntutan itu mereka mendakwa mereka telah ditahan oleh polis ketika mereka sedang menyuraikan kekacauan oleh anggota Pemuda Umno yang menggelarkan diri mereka sebagai Barisan Bertindak Rakyat Malaysia (BBRM) yang didakwa membuat kacau pada hari persidangan APCET itu.

Persidangan itu yang diadakan di sebuah hotel di sini bertujuan menyokong penduduk Timor Timur bagi mendapatkan kemerdekaan daripada Indonesia.

Mereka mendakwa bahawa anggota BBRM telah menjerit-jerit dan melemparkan kata-kata kesat terhadap peserta-peserta APCET yang ada antaranya dari luar negara.

Oleh itu mereka mendakwa polis telah gagal dan cuai untuk bertindak mententeramkan keadaan dan menyuraikan pihak yang membuat kekacauan itu.

Kesemua defendan dalam pernyataan pembelaan menyatakan bahawa penahanan peserta itu adalah bagi mententeramkan keadaan di tempat kejadian.

Hakim Wan Adnan yang membaca intipati penghakimannya berkata keputusannya berdasarkan fakta dan keterangan saksi kedua-dua pihak.

Katanya, beliau mendapati keterangan saksi-saksi plaintif adalah sama mengenai kejadian yang berlaku iaitu bahawa semasa persidangan sedang berjalan, anggota BBRM diketuai Saifuddin Nasution Ismail, telah datang dan membuat kacau.

Sambil bergurau, hakim itu berkata Saifuddin, yang membuat kacau di situ tetapi kini Anggota Parlimen Machang mewakili PKR, telah bertukar menjadi saksi kepada plaintif.

Wan Adnan berkata pihak defendan dalam kes itu banyak bergantung kepada keterangan defendan ketiga iaitu bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Zainal Abidin Ali, yang memberi arahan supaya peserta itu ditangkap dan ditahan.

Hakim berkata beliau menerima keterangan saksi bahawa Zainal Abidin hanya memberikan masa dua minit untuk mereka beredar dari persidangan itu selepas kekecohan berlaku.

"Tempoh dua minit itu tidak mencukupi untuk mereka mengemas barang-barang dalam dewan persidangan itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan