SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dikhuatiri lemas, manakala sembilan lagi terselamat selepas bot yang mereka naiki karam di Sungai Labuk, berhampiran Kampung Melapi, kira-kira 150 kilometer dari sini semalam.Ketika kejadian, mangsa yang belum dapat dikenal pasti identitinya bersama yang lain menaiki bot tersebut untuk menangkap ikan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.14 petang dan menghantar lima anggota serta sebuah jentera ke lokasi kejadian.Lokasi kejadian yang jauh menyebabkan anggota bomba tiba di situ kira-kira pukul 6.30 petang dan tidak dapat melakukan operasi mencari disebabkan keadaan sudah gelap, katanya ketika dihubungi hari ini.Katanya, daripada laporan awal yang diterima, terdapat 10 orang di dalam bot itu termasuk empat kanak-kanak dan bot yang mereka naiki karam selepas dipukul arus deras.Beliau berkata, penumpang lain serta pemandu bot tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.Mohd Razali berkata, operasi mencari mangsa dilakukan hari ini termasuk membabitkan Unit Skuba. - BERNAMA