KUALA LUMPUR: Stesen penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang meraikan ulangtahun ke-64 hari ini diseru supaya 'merakyatkan' perkhidmatannya untuk membolehkan stesen itu terus bersaing dalam industri penyiaran yang semakin melebar di negara ini.Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata: "Sekiranya RTM tidak berubah seperti itu, kita akan hilang taringnya dan tidak akan dapat bangkit lagi dalam dunia penyiaran." Untuk itu, RTM perlu 'turun padang' supaya rakyat merasai kewujudannya, katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Khas RTM sempena sambutan ulang tahun ke-64 stesen itu di Angkasapuri, di sini, hari ini."Mari merakyatkan RTM untuk dinikmati terus menerus di kampung, di pekan, kampung baru, di estet dan di wilayah kita di Sabah dan Sarawak," katanya.Antara yang hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya.Beliau berkata RTM tidak seharusnya hanya menjadi tontonan di bilik tidur, atau di bilik tamu, sebaliknya perlu turun ke bawah bagi memastikan RTM terus menjadi juara dalam dunia penyiaran negara."Orang kampung sesekali berhak untuk menerima kunjungan RTM...pergi ke bawah...kecilkan orkestra (Orkestra RTM), bawa mereka dalam kumpulan kecil, nyanyikan lagu-lagu lama, lagu baru, baru tampak oleh masyarakat RTM ini turun padang."Dengan itu, RTM akan sentiasa berada dalam ingatan masyarakat," katanya.Bagi meningkatkan mutu dan keberhasilan RTM sebagai penyiar utama negara, Rais turut mencadangkan supaya RTM meningkatkan pengetahuan dan pertukaran kepakaran warga penyiar dan produksinya melalui pertukaran kakitangan dengan stesen penyiaran swasta."Melalui percambahan saing antara kita akan menambahkan kebolehan dan memperbaiki mutu kita...maknanya sebahagian daripada kita (RTM) harus bekerja sebentar dengan Media Prima, warga TV3 datang ke RTM, atau begitu juga ke Astro dan sebagainya," katanya.Rais berkata selaku penyiar rasmi negara, RTM juga harus bertanggungjawab mendokong industri kreatif tanah air dengan membuka peluang kepada program-program tempatan untuk menzahirkan karya seni yang lain daripada kebiasaannya atau "keluar dari kotak" selain berdasarkan aspirasi kerajaan.Dari aspek peluang siaran bagi program-program tempatan pula, Rais berkata RTM akan mengamalkan dasar yang lebih telus dengan penubuhan panel khas untuk menilai sekiranya ada sebarang laporan tidak puashati di kalangan penerbit yang membekalkan program kepada stesyen berkenaan."Kita tidak mahu RTM menjadi monopoli, beri syarat-syarat tertentu...tetapi bahannya diperolehi melalui jalan lain, bukannya jalan lurus. Mesti wujud ketelusan bagi memastikan kita memperolehi bahan siaran yang bermutu," katanya.RTM yang bermula sebagai entiti radio amatur pada 1941 menempa sejarah apabila menjadi badan penyiaran tanah air yang memulakan siarannya pada 1 April 1946 di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.Menyorot sejarah RTM, Rais berkata stesyen itu benar-benar telah merentasi zaman kerana masih wujud dan berupaya menjadi penyambung wadah dan lidah perjuangan bangsa Malaysia pada ketika wadah media seangkatannya sudah ada yang gulung tikar.Rais yang telah dua kali menjawat jawatan Menteri Penerangan turut mengingatkan warga kementerian itu bahawa perjuangan utama mereka kini ialah untuk memberi penjelasan terbaik mengenai konsep Gagasan 1 Malaysia yang menjadi pegangan negara.Sempena sambutan ulang tahun ke-64 RTM pelbagai acara menarik akan dianjurkan termasuk Karnival Sorakan 1Malaysia 1 Dunia:Piala Dunia FIFA 2010 dan Gegar Generasiku yang akan berlangsung selama dua hari berturut-turut mulai Sabtu ini di Kompleks Angkasapuri bermula seawal 8 pagi.Dalam majlis sama Rais turut melancarkan buku 'RTM:Merentas Masa', selain menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan Penggiat Seni kepada 22 penggiat aktiviti seni tempatan termasuk pelakon dan pengarah Datuk Nordin Hassan, Kassim Masdor, M. Rajoli, Ahmad Busu, Yahya Sulong dan Zur Eda Mokhtar.Beliau juga turut menerima cek Pos Malaysia Berhad berjumlah RM50,000 untuk mengisi Tabung Bencana RTM. - BERNAMA