suria

1,486 Tangkapan Kes Penyeludupan Rokok Dilakukan Sehingga Mei 2010

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa sebanyak 1,486 tangkapan penyeludupan rokok dilakukan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim berkata, jumlah tangkapan bagi tempoh yang sama pada tahun 2008 adalah sebanyak 1,123 tangkapan dan 1,799 tangkapan lagi dibuat pada tempoh yang sama tahun lepas.

"Nilai rampasan rokok yang diseludup bagi tempoh yang sama tahun ini adalah sebanyak RM43,593,379 manakala RM58,167,561.89 bagi 2008 dan RM70,902,558.52 bagi 2009," katanya ketika sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohsin Fadzli Samuri (Bebas-Bagan Serai) yang ingin tahu jumlah tangkapan dan nilai rampasan rokok bagi tahun 2008 hingga kini dan langkah untuk mengatasi aktiviti penyeludupan rokok yang berleluasa.

Lim juga berkata, nilai rampasan rokok tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 56 peratus pada tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil adalah menjalankan pemeriksaan ke atas premis atau stor, serbuan, sekatan jalan raya, rondaan darat dan laut serta mengesan dagangan yang disyaki dengan menggunakan mesin pengimbas.

"Selain itu kita turut menjalankan aktiviti risikan, kempen dan publisiti untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam, menggunakan dakwat keselamatan serta cukai setem," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain