KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang bertindak sebagai pengurus wang dana tanpa lesen melalui internet melibatkan 52,000 mangsa kerugian RM65 juta dihukum penjara selama empat tahun bermula hari ini.Hakim Mahkamah Sesyen, S.M.Komathy pada Jumaat, menjatuhkan hukuman itu terhadap Phazaluddin Abu, 47, yang disabitkan bersalah atas tuduhan itu dan tiga lagi tuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.33 juta. Komathy memerintahkan tertuduh dihukum penjara empat tahun bagi kesalahan mengemukakan diri sebagai pengurus wang dana tanpa lesen melalui laman web www.danafutures.com antara 3 Januari dan 22 Jun 2007.Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affliate shoppers Network, nombor 14, tingkat 1, Jalan Opera C U2/C, TTDI Jaya, Shah Alam, dekat sini.Bagi tiga kesalahan menerima wang hasil haram, Komathy memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama dua tahun bagi setiap pertuduhan.Tertuduh yang merupakan bapa kepada dua orang anak itu didakwa menerima wang tersebut melalui akaun Affliate Shoppers Network di dua bank berlainan antara 25 Januari dan 23 Februari 2007.Manakala bagi tuduhan ketiga, dia didakwa menerima wang haram itu melalui akaun B.Rathimalar antara 22 Februari dan 7 Mac 2007.Bagaimanapun, Komathy yang memerintahkan supaya tempoh semua hukuman berjalan serentak, membenarkan permohonan peguam tertuduh, J.Chandra untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.Komathy juga membenarkan supaya jaminan tertuduh sebanyak RM490,000 dengan seorang penjamin sebelum ini dilanjutkan dengan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.Hukuman penjara itu sekaligus menolak rayuan Chandra supaya tertuduh hanya dikenakan hukuman denda atas alasan keadaan kesihatan kerana mengidap penyakit seperti darah tinggi dan sakit tulang belakang sehingga mendapatkan rawatan di India.Pendakwaan dibarisi Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti, Zul Aida Zulkifli dan Susheel Kaur serta Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara, Norasyikin Ismail.Pada penghakimannya, Komathy berkata, hukuman denda bukanlah hukuman yang sesuai untuk kesalahan serius yang dilakukan tertuduh, seorang perancang utama dalam jenayah kolar putih.“Tertuduh menyebabkan pelabur memasukkan wang sedangkan pada realitinya tiada pelaburan dibuat. Kesalahan yang dilakukan juga melibatkan perancangan awal dan bukanlah berlaku pada saat itu.“Jenayah kewangan yang dilakukan tertuduh telah menyebabkan ramai pelabur mengalami kerugian apabila penipuan itu terbongkar dan terpaksa ditutup,” tambahnya.