GUA MUSANG: Seorang wanita cedera di kepala apabila tembakan yang dilepaskan orang yang tidak dikenali menggores kepalanya ketika dia nyenyak tidur di rumahnya di Kampung Dalam Jerkam, Bertam dekat sini, awal pagi Sabtu.Che Som Yaakob, 55, menyedari kepalanya berlumuran darah sebaik terjaga dari tidur pada kira-kira pukul 4 pagi selepas terdengar bunyi tembakan. "Saya sedar kepala saya berdarah ketika terjaga dan saya mengejutkan anak perempuan tunggal saya, Nurida Husin, 20, memintanya menelefon ambulans," kata Che Som ketika ditemui di Hospital Gua Musang.Setelah diberi rawatan kecemasan di hospital itu, Che Som dihantar keHospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.Che Som berkata walaupun cedera dan berlumuran darah, beliau tidak panik dan masih boleh berjalan seperti biasa. "Saya tak tahu siapa yang lepaskan tembakan itu kerana dia cepat meninggalkan kawasan rumah saya."Setahu saya, saya tak ada musuh," katanya yang tinggal berdua dengan anaknya sejak beberapa tahun lepas setelah bercerai dengan suami.Che Som berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu."Pihak hospital sahkan wanita itu luka akibat terkena geselan peluru," katanya. -BERNAMA