suria

ATM Jalani Proses Penambahbaikan Dari Peringkat Bawahan - Azizan

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan proses penambahbaikan dari peringkat akar umbi di tiga cabang pasukannya Darat, Udara dan Laut dalam usaha menjadi organisasi pertahanan terbaik dan disegani.

Panglima ATM Jen Tan Sri Azizan Ariffin berkata proses perubahan itu bagi membudaya dan memperkasakan keupayaan dan menentukan tahap kesiagaan yang tinggi serta mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi.

Katanya proses penambahbaikan itu meliputi keberkesanan dalam struktur perjawatan, pemerintahan, kepimpinan, pengurusan, pembangunan sumber manusia dan aliran proses kerja warga ATM.

"Selain itu, soal kebajikan dan keselesaan tempat kerja juga dberi perhatian serius dalam proses penambahbaikan," katanya berucap pada majlis pelancaran Sistem Pengurusan Strategik ATM di Kementerian Pertahanan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata penggunaan metodologi 'Balanced Score Card' (BSC), iaitu kaedah pengurusan prestasi yang sistematik dan tersusun, telah digunapakai di semua peringkat ATM bagi menentukan keberkesanan pemodenan organisasi itu.

"Pelaksanaan sistem BSC itu dilihat membolehkan ATM mengukur sejauh mana pencapaian prestasi organisasi dan warganya melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain