KOTA BARU: Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra akhirnya akan dibawa ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Julai ini untuk menjalani rawatan susulan.Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, tujuan rawatan tersebut adalah untuk menukar tiub di perut Sultan yang berfungsi untuk menyalurkan makanan. Beliau bagaimanapun berkata, rawatan susulan itu tidak diuruskan oleh Pejabat Sultan Kelantan dan setakat ini pejabat itu tidak dititah menguruskan rawatan susulan tersebut.Katanya, sebelum ini Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra bertitah sebarang rawatan ke atas baginda Sultan di luar negara perlu mendapat perkenan baginda selepas dirujuk kepada pakar perubatan dalam negara seperti yang digariskan dalam peraturan kerajaan."Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra amat prihatin terhadap kesihatan Sultan Kelantan dan tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya rawatan yang hendak dilaksanakan di Hospital Mount Elizabeth tidak terdapat dalam negara dan telah dirujuk dan disyorkan oleh pakar-pakar perubatan dalam negara dan dibincang di kalangan keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.Beliau juga berkata, terdapat sungutan rakyat untuk mengetahui kedudukan sebenar keadaan kesihatan Sultan dan ada juga kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak mendapat perkenan Sultan mahupun Pemangku Raja yang menyebabkan timbul kekeliruan."Cadangan untuk mendapatkan rawatan di luar negara tanpa mengikut prosedur yang digariskan menambahkan kekeliruan di kalangan rakyat dan ada pihak membuat andaian bahawa ia dibuat untuk melindungi keadaan sebenar Tuanku Sultan," katanya.Tuanku Ismail yang mengalami masalah kesihatan telah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini pada 14 Mei tahun lalu untuk menerima rawatan.Baginda kemudiannya dihantar ke Hospital Mount Elizabeth untuk menerima rawatan susulan pada 24 Mei tahun lalu dan berangkat pulang ke Istana Mahkota di sini pada 4 Mac lalu.Pada 4 Mei lepas, Tuanku Ismail yang ingin dibawa ke Singapura telah dihalang untuk berbuat demikian. Baginda akhirnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk diperiksa oleh doktor panel yang dilantik oleh kerajaan negeri dan baginda dibenarkan keluar dari HUSM pada 9 Mei.