KUALA LUMPUR: Rombongan Malaysia yang baru-baru ini mengadakan misi perniagaan ke Kemboja dan Vietnam telah mengenal pasti sejumlah RM28.1 juta peluang perniagaan francais dan perniagaan runcit di kedua-dua buah negara berkenaan.Di Kemboja, peluang usaha sama dikenal pasti dalam perniagaan runcit dan francais untuk produk kecantikan, pusat latihan penjagaan badan, pendidikan, produk makanan dan minuman serta pengedaran produk makanan, demikian menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan hari ini. Menurut kenyataan itu lagi, perniagaan francais pusat latihan penjagaan badan, produk makanan dan minuman, pendidikan Bahasa Inggeris, usaha sama dalam cawangan runcit untuk kasut dan beg tangan serta pengedaran produk makanan telah dikenal pasti memiliki potensi yang besar untuk dimajukan di Vietnam.MATRADE yang mengetuai Misi Pemasaran Khusus mengenai Perniagaan Francais dan Runcit telah ke Kemboja dan Vietnema antara 31 Oktober dan 6 November, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Persatuan Francais Malaysia dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS).Sejumlah 25 perwakilan dari 12 syarikat, agensi kerajaan dan persatuan berada di Phnom Penh dan Bandar Ho Chi Minh untuk mempromosikan perniagaan francais dan runcit Malaysia.Kenyataan itu berkata, ini ialah misi pertama untuk mempromosikan perniagaan francais ke Kemboja dan kali kedua ke Vietnam.Sementara itu, 86 juta pengguna Vietnam dan pertumbuhan pesatnya telah menyaksikan permintaan menggalakkan untuk gaya hidup barat yang lebih selesa.Ini jelas dilihat dengan pertumbuhan jualan runcit tahunan 23.3 peratus pada 2007, 31 peratus pada 2008 dan 18.6 peratus pada 2009 berdasarkan kepada angka daripada Jabatan Perangkaan Vietnam. - BERNAMA