KUALA LUMPUR: Yayasan Taiwan dan Buddhist Tzu Chi Malaysia malam Ahad menghulurkan sumbangan wang tunai RM500 kepada setiap waris mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Batu 14 Hulu Langat.Seramai 20 sukarelawan yayasan itu tampil menghulurkan bantuan pada satu majlis ringkas di ruang legar utama Hospital Ampang di sini. Seorang sukarelawan, Lee Ley Hua berkata bantuan itu bagi meringankan bebanan yang ditanggung keluarga mangsa terbabit. "Hari ini, kita menyerahkan RM500 kepada lapan keluarga di Hospital Ampang dan seorang lagi di Hospital Kajang," katanya ketika ditemui pemberita.Lee berkata yayasan itu, yang beroperasi selama 15 tahun dan dianggotai lebih 2,000 sukarelawan di negara ini, sentiasa menghulur bantuan kepada mangsa bencana alam selain menjalankan kerja-kerja amal. Dalam kejadian petang Sabtu, seramai 16 penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa terkorban manakala sembilan lagi cedera.Sementara itu, seorang waris, Noriah Hussin, 67, bersyukur cucunya Mohd Alauddin Shafie, 14, terselamat dalam kejadian itu. "Alhamdulillah, kecederaan cucu saya yang patah tangan kiri sudah pulih...dia sudah selera makan dan stabil," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.Menurutnya, Mohd Alauddin sering mengunjungi rumah anak-anak yatim itu pada setiap musim cuti sekolah untuk belajar ilmu agama dan Al-Quran.Tinjauan Bernama mendapati waris mangsa yang terlibat masih memenuhi ruang legar Hospital Ampang sejak petang tadi, meskipun waktu melawat berakhir pukul 7 malam. Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Jailani Ngah meminta pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam menghulurkan bantuan kepada mangsa tragedi tersebut.Beliau berkata sumbangan itu kelak boleh digunakan untuk membaiki rumah anak yatim terbabit, atau membina rumah baru di kawasan lain.Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Maybank rumah anak yatim itu bernombor 564137300901, katanya kepada pemberita di Hospital Kuala Lumpur.Jailani, yang sebelum itu meninjau tempat kejadian, turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat lokasi kejadian sebaik tiba dari Washington Selasa ini. -BERNAMA